PAS: Tiada perkauman dalam piagam kerjasama dengan Umno

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS dan Umno akan kekal dengan polisi masing-masing tetapi muafakat dalam perkara yang dipersetujui.

KOTA BHARU: Piagam kerjasama yang dijangka ditandatangani membabitkan PAS dan Umno selepas Aidilfitri ini bukan bersifat perkauman, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata konsep yang ingin ditonjolkan dalam piagam tersebut adalah terbuka kepada semua dan tidak terbatas kepada PAS dan Umno semata-mata namun ia bermula dengan kedua-dua parti sebagai penggerak.

“Kalau kita lihat selama ini sejak merdeka, negara kita ini stabil walaupun dipimpin oleh Umno yang diterajui orang Melayu. Maknanya bukan muafakat orang Melayu itu untuk menimbulkan suasana tidak harmoni kepada rakyat.

“Kalau kerana penyatuan orang Melayu itu tak harmoni, dah 70 tahun kita merdeka maka tak harmoni negara kita. Jadi saya fikir itu pandangan yang silap jika ia melihat dari aspek tersebut (perkauman),” katanya kepada pemberita pada Program Make Them Smile 2.0, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata kerjasama antara kedua-dua parti dijangka lebih erat dan tidak terbatas kepada 3 perkara utama yang dipersetujui sebelum ini iaitu pertandingan 1 lawan 1 pada setiap pilihan raya kecil, isu berkaitan Melayu-Islam dan isu di peringkat Parlimen.

“Bahkan kita melihat ini antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyelamatkan institusi orang Melayu, agama Islam dan institusi raja-raja Melayu yang mula ada ancaman.

“Saya fikir ini adalah penggabungan yang dinanti-nantikan oleh sebahagian besar rakyat. Setiap parti akan kekal dengan polisi masing-masing tapi kita muafakat (dalam perkara yang telah dipersetujui),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata Jawatankuasa Pemilihan PAS dijangka akan mengumumkan calon yang akan bertanding merebut pelbagai jawatan dalam parti itu sempena pemilihan PAS tahun ini selepas Aidilfitri nanti.

“Pencalonan itu dah diterima dan saya yakin semua orang dah terima surat daripada Jawatankuasa Pemilihan dan dia kena hantar jawapan segera. Sebarang tindakan tidak menghantar surat jawapan dianggap tarik diri,” katanya.