Peguam hak asasi bidas menteri Singapura pertahan hukuman mati

N Surendran (kiri) menyifatkan cadangan K Shanmugam untuk Malaysia ‘menahan pengedar dadah’ sebelum mereka memasuki Singapura sebagai ‘kenyataan bodoh seorang menteri Kabinet’.

PETALING JAYA: Seorang peguam hak asasi hari ini membidas Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam atas tindakannya mempertahankan hukuman mati yang didakwanya langkah pencegahan berkesan terhadap kesalahan dadah.

Shanmugam turut mendakwa rakyat negara itu menyokong hukuman mati, selepas Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan rakyat Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman menangguhkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya pada 2017 kerana mengedar dadah pada 2014.

Dalam satu siri tweetnya, penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran berkata dakwaan Shanmugam yang hukuman mati boleh mencegah pengedaran dadah tidak berasas dan beliau gagal memberi sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya.

Katanya, kajian ke atas hukuman mati menunjukkan hasil sebaliknya.

“Beliau dengan sikap kebudak-budakan kemudiannya mencadangkan Malaysia ‘menahan pengedar dadah’ sebelum mereka masuk ke Singapura. Ini ialah kenyataan bodoh bagi seorang menteri Kabinet.”

Bekas ahli Parlimen Padang Serai itu turut tertanya-tanya bagaimana Shanmugam tahu rakyat Singapura menyokong hukuman mati kerana “hampir tiada kebebasan bersuara di Singapura”.

“Berdepan undang-undang menindas, rakyat Singapura tidak berani mengkritik kerajaan mereka. Malaysia ialah penanda kebebasan secara perbandingan.”

Terdahulu, Shanmugam hari ini dilaporkan berkata, ia “tidak dapat dipertahankan” untuk memberi pengecualian dan menghentikan pelaksanaan hukuman ke atas pengedar dadah dari Malaysia.

Katanya, ini akan menjejaskan kedaulatan undang-undang di Singapura.

Beliau berkata, beberapa ahli dalam Pakatan Harapan “menentang secara ideologi” hukuman mati.

Surendran menyifatkannya “angkuh dan tidak wajar” untuk seorang menteri kanan seperti Shanmugam untuk bertindak begitu dengan seorang menteri dari negara jiran seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

“Liew menulis surat kepada kerajaan Singapura untuk merayu bagi pihak seorang keldai dadah dari Malaysia.

“Apa salahnya dengan tindakan itu?” soalnya.

Liew dilaporkan menulis surat rayuan bagi pihak Pannir, keldai dadah yang dijatuhkan hukuman mati di Singapura.

Lelaki berusia 31 tahun didapati mengedar lebih 51g heroin di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014. Beliau sepatutnya menjalani hukuman mati subuh tadi, tetapi mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan hukuman itu semalam.

Mahkamah Rayuan Singapura memberi kebenaran itu kepada Pannir atas alasan beliau perlu diberikan masa untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar proses pengampunan.

Semakan kehakiman itu perlu difailkan dalam 2 minggu.