Peguam negara akan nasihati kerajaan terbit syor tribunal

Tommy Thomas kecewa dengan keputusan tidak meneruskan pendengaran ke atas dakwaan salahlaku bekas-bekas anggota SPR.

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas berkata dia akan menasihatkan kerajaan supaya menerbitkan laporan syor-syor tribunal yang ditubuhkan untuk mendengar dakwaan salah laku terhadap 6 bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya.

Beliau berkata laporan itu, yang terkandung dapatan majoriti dan minoriti tribunal, melibatkan unsur-unsur berkepentingan orang ramai.

“Saya berharap laporan itu boleh diterbitkan apabila tiba masanya, dan kita boleh kaji syor-syor tribunal 5 anggota itu,” katanya ketika ditemui di pendengaran hari ini.

Thomas dan peguam kanan persekutuan, Mazlifah Ayob adalah pegawai pengendali tribunal itu.

Dalam satu keputusan majoriti awal hari ini, tribunal tidak akan meneruskan pendengaran terhadap bekas timbalan pengerusi SPR, Othman Mahmood dan bekas pesuruhjaya, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Bala Singam Karupah dan Leo Chong Cheong.

Tiga anggota panel iaitu Steve Shim, Zaleha Zahari dan Suriyadi Halim Omar berkata pendengaran terhadap dakwaan salahlaku itu tidak perlu diteruskan manakala 2 anggota panel iaitu Jeffrey Tan dan Prasad Sandosham Abrahim berkata pendengaran terhadap keenam orang itu harus diteruskan.

Anggota tribunal berkata laporan akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Thomas kecewa dengan majoriti memutuskan untuk tidak meneruskan pendengaran itu atas alasan ia membazirkan masa dan tenaga.

“13 aduan melibatkan dakwaan salah pembahagian, gerimander dan tempoh berkempen 11 hari terhadap mereka itu adalah berasas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, badan pemantau pilihan raya itu akan merujuk peguamnya mengenai tindakan susulan selepas keputusan tribunal itu.

“Bagi kami, dirasakan seolah keadilan tidak ditegakkan,” katanya, dan menambah keputusan itu tidak menamatkan usaha Bersih mendapatkan keadilan mengenai pilihan raya tidak adil itu.

Beliau berkata perubahan kerajaan tidak bermakna proses memilihnya dijalankan secara adil dan bersih.

Peguam K Balaguru yang mewakili bekas pesuruhjaya SPR, Bala Singam berkata, pihaknya menerima keputusan tribunal itu.

“Kita tunggu dan lihat apakah keputusan Agong mengenai syor-syor tribunal itu,” katanya.