Pendedahan saya halang bekas pengarah SRC lari ke negara tertentu, kata KPN

Nik Faisal Ariff Kamil ialah saksi utama dalam perbicaraan SRC International membabitkan Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata pendedahan “pramatang” mengenai kedudukan bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil menghalangnya melarikan diri ke negara tertentu.

“Ingat tak hari itu saya dedahkan ada usaha untuk menyembunyikan beliau (Nik Faisal) di suatu tempat dan usaha memindahkannya ke sebuah negara?

“Ia tidak berlaku kerana ia adalah pendedahan pramatang oleh saya,” katanya selepas menghadiri pelancaran Op Selamat sempena sambutan Aidilfitri di Menara TM hari ini.

Bagaimanapun, katanya, walaupun berlaku perubahan rancangan, polis tahu Nik Faisal berada di mana sekarang.

Ditanya jika beliau berada di Indonesia, Hamid berkata “tidak” tetapi isteri ke-2 Nik Faisal berada di sana.

“Beliau pernah berada di sana, tetapi sekarang beliau di tempat lain dan kami tahu di mana beliau bersembunyi.”

Dalam sidang media pada Ogos 2015, Hamid mendedahkan terdapat cubaan menyembunyikan saksi utama kes SRC International “dengan bantuan beberapa orang yang berkuasa”.

Hamid yang ketika itu ialah timbalan pengarah Cawangan Khas, dilaporkan berkata seorang daripada saksi itu bersembunyi di New Zealand, selepas ke Indonesia dan Thailand.

Nik Faisal ialah saksi utama dalam perbicaraan SRC International yang masih berterusan membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Beliau dinamakan beberapa saksi dalam perbicaraan itu sebagai individu yang mengawal akaun AmBank Najib, di mana RM42 juta didakwa dimasukkan ke akaun itu.

Bagaimanapun, usaha membawanya pulang untuk memberi keterangan tidak berjaya kerana pihak berkuasa yang menyiasat kes itu sejak 2015 gagal menyoal siasatnya.