Peneroka Felda kecewa tiada bantuan raya, akan hukum PH jika kebajikan diabai

Roslan Md Esa berkata, keadaan sebaliknya berlaku kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara, di mana nasib mereka sepatutnya lebih baik selepas pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

PETALING JAYA: Peneroka Felda yang kecewa dengan keputusan Putrajaya tidak memberi bantuan raya kepada mereka tahun ini disebabkan kedudukan kewangan semasa negara kurang memberangsangkan, berikrar menghukum Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang jika kebajikan mereka terus diabaikan.

Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Roslan Md Esa berkata rata-rata peneroka kecewa dengan pengumuman itu kerana menjadi amalan untuk kerajaan menyediakan bantuan menjelang sambutan Aidilfitri setiap tahun.

Beliau berkata, insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil sebanyak RM1,500 yang diterima peneroka selepas penanaman semula bukanlah percuma.

“Insentif wang yang disediakan kerajaan itu bukan bentuk ‘one off’, tetapi perlu dibayar semula peneroka,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat memberi bantuan raya kepada peneroka Felda tahun ini kerana sedang memberi keutamaan untuk memastikan insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dapat disalurkan sebelum Aidilfitri ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industria Asas Tani untuk memulakan inisiatif “cash crop model” bagi membantu peneroka supaya tidak terlalu bergantung kepada kelapa sawit semata-mata.

Roslan berkata, nasib 112,635 peneroka Felda di seluruh negara sepatutnya lebih baik di bawah kerajaan baru, tetapi sebaliknya berlaku dan menyimpang jauh daripada apa yang dijanjikan PH.

“Belum terlambat untuk buat keputusan lain bagi mengurangkan beban rakyat.

“Sepatutnya rakyat lebih selesa dengan pembentukan Malaysia Baru yang dipimpin PH, peneroka menunggu janji manifesto di mana hutang peneroka dihapuskan, penyata hutang mereka dapat dilihat dengan jelas, harga komoditi sawit lebih baik, namun apa yang berlaku sebaliknya.

“Mereka tiada pilihan melainkan anak-anak merekalah yang kena bantu bagi meringankan beban menghadapi perayaan yang bakal menjelma.

“Saya yakin dan percaya jika kerajaan gagal menangani isu ini (kebajikan peneroka Felda), maka tiada lagi undi untuk PH pada masa akan datang, melainkan hanya mereka yang ada kepentingan saja.”

Sementara itu, peneroka dari Felda Sungai Koyan, Ramli Musa merayu Putrajaya memberikan sumbangan raya walaupun jumlahnya sedikit.

“Bukan semua orang Felda senang sekarang, ada yang hanya bergantung kepada hasil pertanian, harga kelapa sawit jatuh teruk, pendapatan kami kurang.

“Kami harap kalau kerajaan tidak boleh bagi duit raya sama macam zaman Barisan Nasional, bagi sedikit pun cukup.”

Abdul Manaf Mamat yang juga dari Felda Sungai Koyan mengadu mengenai nasib peneroka.

“Kami tidak sangka nasib kami teruk begini dilayan kerajaan baru, banyak janji tak tunai dan keistimewaan kami dapat masa kerajaan lama juga sudah tidak ada sekarang.”