Pengasas WikiLeaks didakwa langgar Akta Pengintipan AS, berdepan 17 tuduhan baru

Jika sabit kesalahan, Julian Assange boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun bagi setiap pertuduhan. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada Khamis berkata 17 pertuduhan baru difailkan terhadap pengasas bersama WikiLeaks, Julian Assange, termasuk menerima dan menyiarkan dokumen sulit ketenteraan serta diplomatik secara salah pada 2010, lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau didakwa melanggar Akta Pengintipan AS.

Bagaimanapun, pelbagai saluran media AS berkata, pertuduhan baru itu menyentuh isu Pindaan Pertama dan menimbulkan kebimbangan ia boleh menjadi duluan berbahaya kepada wartawan.

Pertuduhan baru itu termasuk konspirasi untuk menerima, memperoleh dan mendedahkan maklumat pertahanan negara.

Assange, 47, yang berasal dari Australia, berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu didedahkan dalam sidang akhbar pegawai DoJ di Washington DC.

Kerajaan AS tidak pernah berjaya mendakwa seorang individu yang bukan pegawai kerajaan kerana menyiarkan atau berkongsi maklumat sulit bocor secara tidak sah, kata Pensyarah Undang-undang Universiti Chicago, Geoffrey Stone kepada NBC News.

“Ini adalah sesuatu yang gila. Ini adalah pengakhiran bagi kewartawanan keselamatan negara dan Pindaan Pertama,” kata WikiLeaks menerusi Twitternya.

Dokumen rahsia yang disiarkan Assange diperoleh daripada bekas penganalisis Perisikan Tentera AS, Chelsea Manning, yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tentera pada 2013 dan dihukum penjara 35 tahun. Tetapi, beliau dibebaskan pada 2017, beberapa bulan selepas mendapat pengampunan Presiden Barack Obama.

Manning membocorkan kira-kira 700,000 fail tentera, termasuk sebuah video di medan perang dan kabel diplomatik kepada WikiLeaks, yang merupakan insiden kebocoran data sulit terbesar dalam sejarah AS.

Assange dihukum penjara 50 minggu pada 2 Mei lalu kerana melanggar Akta Ikat Jamin di Britain, selepas diusir dari Kedutaan Ecuador di London yang melindunginya hampir 7 tahun.

Katanya, ketika itu beliau tidak bersetuju diekstradisi ke AS atas pertuduhan berkaitan kesalahan membocorkan rahsia kerajaan.

Pangkalan data WikiLeaks mengandungi kira-kira 90,000 laporan aktiviti penting berkaitan perang Afghanistan; 400,000 laporan aktiviti penting berkaitan perang Iraq; 800 ringkasan penilaian tahanan Teluk Guantanamo dan 250,000 kabel DoJ, menurut laporan media tempatan yang memetik pendakwa sebagai sumber.