Persatuan pembina sokong kembalikan sistem penggantian pekerja asing

KUALA LUMPUR: Master Builders Association Malaysia (MBAM) mengalu-alukan cadangan pengembalian semula sistem penggantian pekerja asing untuk semua sektor bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja.

Presiden Foo Chek Lee berkata sistem sebelum ini menjadi satu saluran yang berkesan bagi majikan untuk menggantikan pekerja dan membolehkan mereka memenuhi tanggungjawab kerja dengan pantas, terutama apabila berlaku masalah kekurangan pekerja.

“Kekurangan ini juga berlaku disebabkan oleh pembekuan pengambilan pekerja Bangladesh yang belum lagi diselesaikan. Proses semasa mengambil masa lebih kurang 9 minggu, manakala proses penggantian sebelum ini hanya mengambil antara 1 hingga 2 minggu sahaja, dengan syarat semua dokumen yang diperlukan adalah sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran bahawa Kabinet kemungkinan besar akan mengembalikan sistem yang dibekukan pada 2017 itu, kerana ia akan membantu majikan menjimatkan masa dan wang dalam menangani kekurangan pekerja untuk perniagaan mereka.

Sebelum ini, majikan boleh meminta gantian selepas memohon memo daftar keluar daripada imigresen bagi pekerja asing dan memastikan mereka meninggalkan negara ini.

Foo berkata, pihak industri tempatan berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah berkaitan dengan bekalan pekerja, seperti kekurangan buruh, proses pengambilan yang panjang dan kos bayaran yang agak tinggi.

“Pengembalian semula ini harus dilaksanakan dengan serta-merta, seteruskan akan menjimatkan masa dan kos bagi membantu menggerakkan ekonomi pembinaan ke hadapan,” katanya.