PH seperti kapal yang hanyut, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keputusan yang menyakitkan berhubung prestasi Pakatan Harapan (PH) selepas setahun berkuasa, mengatakan gabungan itu tiada arah tujuan.

Dalam temu bual dengan FMT, beliau menyamakan kerajaan itu dengan kapal yang hanyut.

Beliau mendakwa parti dalam PH tidak mempunyai agenda bersama untuk membimbing gabungan itu ke hadapan dan berkata ia memerlukan visi dan strategi yang penting untuk merealisasikannya.

Beliau menyebut Program Transformasi Negara (NTP) ketika era pentadbirannya sebagai contoh bagi strategi sedemikian.

“Kecuali mereka datang dengan visi baru yang jelas, visi yang sangat muktamad, negara ini akan terumbang-ambing, tidak pasti arah mana kita mahu tuju.”

Katanya, beliau ingin melihat NTP dihidupkan semula jika Barisan Nasional kembali berkuasa.

“Program itu berfungsi. Pelan itu capai target. Bagaimanakah anda boleh meragui apa yang telah kita capai jika kita dapat mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9% pada 2017? ”

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia semasa tempoh pemerintahannya adalah melebihi Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.

“Defisit kita turun sebanyak 2.8%, hutang negara kita turun pada 50.4% daripada KDNK dan jumlah hutang kita ialah RM686 bilion. Tapi lihat keadaan hari ini. ”

Najib memberi contoh lain yang mendakwa Malaysia lebih baik di bawah rejimnya:

  • Harga komoditi lebih tinggi;
  • Pelaburan langsung asing “mengalir masuk”;
  • Pasaran saham mencapai tahap tertinggi sepanjang masa dan menyaksikan kejayaan jangka panjang dalam sejarah;
  • Ringgit semakin kukuh.

Beliau mendakwa kos sara hidup semakin meningkat dan menyalahkannya peralihan daripada cukai barangan dan perkhidmatan kepada cukai jualan dan perkhidmatan.

Beliau juga berkata pasaran saham kini menurun, harga komoditi “jatuh” dan “aset berharga” telah dijual.

Beliau berkata angka pertumbuhan ekonomi disemak sebanyak 3 kali.

“Mereka kata rakyat akan lebih baik jika PH memerintah. Sebenarnya ramai mengatakan kehidupan mereka lebih sukar.”

Ahli Parlimen Pekan itu yang menjelajah seluruh negara, mendakwa rakyat putus harapan dan tidak banyak berubahan yang berlaku, terutama di kawasan luar bandar.

“PH janjikan 1 juta pekerjaan. Mana pekerjaan itu?

“Sekarang, mereka cakap mengenai 50,000 rakyat Malaysia yang akan bekerja di Jepun dengan melakukan pekerjaan kotor, bahaya dan susah.

“Inilah pekerjaan yang dilakukan orang yang datang ke Malaysia, dan bukan untuk rakyat Malaysia untuk pergi ke Jepun untuk melakukannya. Ini bermakna kita menyamakan Malaysia dengan negara-negara yang mengeksport rakyat mereka.”

Najib juga menyelar PH kerana tidak memenuhi janjinya untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat 1MDB, Felda dan Tabung Haji dan menyatakan penerusan projek yang pernah dikritik seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange dan Link Pantai Timur.

“Yang mana mereka tidak dapat tolak mereka jenamakan semula. BR1M menjadi Bantuan Sara Hidup dan Permata menjadi Genius. Hakikatnya ini adalah projek BN yang sangat memberi manfaat kepada rakyat.”

Beliau berkata PH tidak boleh lagi menyalahkan atau membangkitkan kebencian terhadap BN kerana rakyat akan melihatnya.

Mengenai BN, beliau berkata gabungan itu harus percaya ia dapat menyampaikan mesej yang kuat kepada rakyat kerana mereka sekarang boleh membandingkan prestasi 2 gabungan itu.

“Saya percaya rakyat akan melihat BN adalah kerajaan yang lebih baik daripada PH,” katanya.