Polis sedia beri perlindungan kepada Jho Low jika pulang ke Malaysia

Abdul Hamid Bador (kanan) berkata, polis tahu di mana Jho Low berada dan beberapa lelaki yang bersamanya.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berjanji akan memberi perlindungan kepada Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, jika ahli perniagaan dikehendaki pihak berkuasa berkaitan dakwaan beliau mencuri berbilion dolar dana 1MDB, pulang ke Malaysia.

“Polis sedia menawarkan perlindungan kepada Jho Low dan 5 atau 6 yang lain (dikaitkan dengan 1MDB),” katanya yang menolak dakwaan ahli perniagaan itu mungkin diseksa pihak berkuasa jika beliau pulang ke negara.

“Jika mereka rasa tidak bersalah, mereka boleh mengupah peguam terbaik untuk melawan kes mereka,” katanya selepas menghadiri pelancaran Op Selamat sempena sambutan Aidilfitri di Menara TM hari ini.

Beliau turut meminta Jho Low tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dari luar negara, sebaliknya perlu pulang untuk berdepan pengadilan.

Katanya, polis tahu kedudukan terkini Jho Low dan beberapa lelaki yang bersamanya.

“Jangan bazir masa kami, mereka tidak boleh lari selama-lamanya,” katanya sambil menambah keutamaannya ialah menutup kes itu secepat mungkin supaya negara boleh terus mara.

Beliau berkata, polis mendapat bantuan agensi risikan dan penguatkuasaan asing berhubung kedudukan Jho Low.

“Bersabar, kami akan bawa mereka pulang.”

Rasuah

Hamid berkata, pegawai yang menolak rasuah boleh dinaikkan pangkat atau diberi surat perakuan, bergantung kepada kes.

Katanya, beliau serius dalam usaha membasmi rasuah dalam pasukan polis dan menggesa pegawainya tidak terus bersubahat dengan dalang di sebalik pusat perjudian haram.

“Saya sudah beritahu pegawai saya, selagi mereka tidak digari, hentikan aktiviti mereka dan kembali ke pangkal jalan.”

Beliau turut memberi amaran kepada pemilik pusat perjudian haram untuk menghentikan kegiatan mereka.

“Negara kita kaya dengan sumber asli. Kenapa tidak menjalankan perniagaan yang sah?”