Soalan peperiksaan Pendidikan Moral ikut buku teks, kata guru besar

Rukun Negara menurut buku teks Pendidikan Moral Tahun 6.

PETALING JAYA: Guru besar sebuah sekolah rendah tampil menjelaskan kontroversi berkenaan Rukun Negara dalam kertas peperiksaan pertengahan tahun Pendidikan Moral Tahun 6.

Guru besar sebuah sekolah rendah di Shah Alam itu, yang tidak mahu dinamakan berkata, mereka hanya mengikut buku teks Pendidikan Moral terbitan kerajaan yang dicetak pada 2015.

Beliau berkata halaman 51 buku teks Pendidikan Moral Tahun 6 itu menyatakan prinsip “Kepercayaan kepada Tuhan” boleh dihormati dengan menerima Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Soalan kami ikut buku teks. Kami tak putar fakta,” katanya kepada FMT.

Buku teks itu juga memberikan tafsiran “Kepercayaan kepada Tuhan” kedua, iaitu menghormati agama dan kepercayaan pelbagai kaum.

Tangkap layar kertas peperiksaan itu dipersoalkan orang ramai selepas ia dikongsi di media sosial.

Ia menunjukkan murid berkenaan menjawab 4 soalan berkenaan Rukun Negara dan tidak menjawab soalan mengenai maksud “Kepercayaan kepada Tuhan”.

Murid berkenaan memilih untuk tidak menanda jawapannya, iaitu “menerima Islam sebagai agama rasmi persekutuan”, menyebabkan dia tidak mendapat 2 markah.

Soalan berdaasarkan buku teks Pendidikan Moral Tahun 6 yang dicetak pada 2015.

“Kalau ikut skim pemarkahan kita, murid itu tidak akan dapat 2 markah kerana soalan itu tidak dijawab,” tambahnya.

Guru besar terkejut dengan kritikan meluas terhadap soalan kertas peperiksaan itu selepas ia tular di media sosial.

“Ramai orang kritik saya, mungkin tidak sedar soalan itu berdasarkan buku teks.

“Mereka sepatutnya meminta penjelasan saya terlebih dahulu,” tambahnya.

Rukun Negara dirumuskan pada 31 Ogos 1970 sebagai reaksi kepada rusuhan kaum 13 Mei 1969. Matlamatnya untuk menyatukan kaum dan diajar di sekolah.

Lima Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan.