Sultan Brunei pulangkan ijazah kehormat Oxford selepas kritikan hukuman gay

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

LONDON: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah memulangkan ijazah kehormat yang dianugerahkan oleh Universiti Oxford di Britain selepas mendapat kritikan seluruh dunia diketuai selebriti termasuk George Clooney dan Elton John kerana mencadangkan hukuman mati kepada pesalah gay dan zina.

Hampir 120,000 orang menandatangani petisyen pada April yang menggesa Universiti Oxford membatalkan penganugerahan ijazah kehormat undang-undang yang diberikan kepada sultan itu pada 1993, pemerintah monarki ke-2 paling lama di dunia yang juga perdana menteri kepada negara yang kaya hasil minyak.

Universiti Oxford berkata sultan itu memutuskan menyerahkan semula ijazah kehormat tersebut pada 6 Mei, sementara ia meneliti semula keputusannya untuk menganugerahkannya.

Berita mengenai keputusan itu disiarkan semalam.

“Sebagai sebahagian proses teliti semula, universiti menulis untuk memberitahu sultan itu pada 26 April 2019, meminta pandangannya pada 7 Jun 2019,” kata universiti berkenaan dalam satu kenyataan yang diemailkan kepada Yayasan Thomson Reuters.

“Menerusi surat bertarikh 6 Mei 2019, sultan menjawab dengan keputusannya untuk memulangkan ijazah tersebut.”

Negara terkecil di Asia Tenggara itu mencetuskan kemarahan dunia apabila ia menggubal undang-undang Islam pada 3 April yang menghukum pesalah liwat, zina dan rogol dengan kematian, termasuk direjam hingga mati.

Selepas menerima bantahan, sultan itu awal bulan ini berkata hukuman mati tidak akan dikenakan dalam pelaksanaan kanun keseksaan itu.