Tiada lagi caj tersembunyi dalam perjalanan udara mulai 1 Jun

Timbalan Menteri Kamarudin Jaffar (kanan) dan Pengerusi Eksekutif Mavcom, Nungsari Ahmad Radhi di pelancaran aplikasi telefon bimbit, FlySmart di ibu negara hari ini.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini berkata caj-caj tersembunyi seperti pembayaran kad dan fi pentadbiran pada tiket penerbangan akan dihapuskan berkuatkuasa 1 Jun.

Badan kawal selia syarikat penerbangan dan lapangan terbang itu berkata penghapusan itu antara inisiatif yang dilaksanakan bulan depan sejajar pindaan pada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan (MACPC).

Terdahulu, pindaan pada MACPC itu diumumkan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar.

Mavcom berkata syarikat penerbangan akan diminta mempamerkan harga muktamad tiket penerbangan semasa pengiklanan dan pembelian tiket.

“Harga muktamad termasuk tambang asas dan semua caj yang perlu dibayar kepada syarikat penerbangan, cukai dan fi yang dikenakan kerajaan, fi dan caj yang ditetapkan bawah mana-mana undang-undang bertulis, serta surcaj bahan api.

“Ini menghapuskan caj-caj tersembunyi, seperti caj pembayaran kad dan fi pentadbiran,” katanya dalam kenyataan.

Mavcom berkata caj-caj untuk perkhidmatan pilihan yang dibeli seorang pengguna atas dasar penyertaan (opt-in) juga harus dipamerkan dan dimasukkan dalam harga muktamad semasa pembayaran.

Pindaan lain pada kod itu juga meminta syarikat penerbangan membayar balik penumpang dalam tempoh 30 hari dari tarikh mohon pembayaran balik dibuat.

Prinsip yang sama terpakai pada tiket-tiket yang dibeli menerusi ejen pelancongan, di mana syarikat penerbangan mesti membayar balik ejen itu dalam jangka masa yang sama.

Pengguna juga layak mendapatkan bayaran balik caj-caj perkhidmatan penumpang, cukai, fi dan caj-caj untuk tiket-tiket boleh bayar balik dan tidak boleh bayar balik sekiranya mereka tidak melakukan perjalanan itu.

“Syarikat penerbangan hanya dibenarkan untuk mengenakan fi pemprosesan maksimum 5% sekiranya tiket itu tidak boleh bayar balik,” katanya.

Mavcom berkata pengendali lapangan terbang juga mesti mempamerkan MACPC dengan jelas untuk rujukan pengguna, manakala syarikat penerbangan diminta memaklumkan penumpang tentang hak-hak perjalanan menerusi semua platform.

MACPC yang dipinda itu, yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2016, juga termasuk peruntukan-peruntukan untuk perkhidmatan kerusi beroda untuk orang-orang kurang upaya.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Nungsari Ahmad Radhi percaya pindaan itu akan melindungi kebajikan penumpang dan meningkatkan tahap perkhidmatan dalam industri itu.