Tiada tribunal untuk bekas ahli SPR

Sebahagian daripada bekas ahli SPR. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tribunal untuk mendengar dakwaan salah laku 6 bekas ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan pendengaran terhadap mereka tidak akan diteruskan kerana kes itu kini bersifat akademik.

Pengerusi panel itu, Steve Shim dalam menyampaikan keputusan majoriti berkata, sia-sia untuk membicarakan bekas timbalan pengerusi Othman Mahmood dan 5 bekas pesuruhjaya, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Bala Singam Karupiah serta Leo Chong Cheong.

“Isu yang menjadi akademik tidak boleh didengar kecuali ada alasan baik untuk berbuat demikian,” katanya dalam keputusan majoriti yang turut dipersetujui ahli panel Zaleha Zahari dan Suriyadi Halim Omar.

Zaleha berkata, ia bukan kepentingan awam untuk menyiasat bekas pesuruhjaya itu.

Tetapi, 2 lagi ahli panel, Jeffrey Tan Kok Wha dan Prasad Sandosham Abrahim berkata pendengaran terhadap 6 lelaki itu patut diteruskan kerana ia ada berkaitan proses demokratik Malaysia.

Kedua-duanya berkata, peletakan jawatan secara sukarela daripada SPR tidak melindungi mereka daripada siasatan salah laku ketika masih memegang jawatan kerajaan.

Tan tidak bersetuju kes itu bersifat akademik kerana dakwaan ialah berkaitan salah laku penjawat awam.

Prasad berkata, tidak meneruskan tribunal itu mungkin tidak diterima baik orang ramai.

Difahamkan, 13 dakwaan dilemparkan terhadap 6 bekas ahli SPR itu berhubung peranan mereka dalam menyediakan laporan persempadanan semula penuh kontroversi dan cara pilihan raya umum ke-14 dijalankan.

Pada permulaan tribunal itu Januari lalu, pegawai pengendali dan peguam ketika itu, M Puravalen memberitahu panel berkenaan yang kes itu bersifat akademik dan 6 ahli terbabit tidak lagi mempunyai jawatan dalam SPR.

Puravalen kemudiannya dipecat Peguam Negara, Tommy Thomas kerana tidak mematuhi arahan dan Thomas mengambil alih peranan sebagai pengawai pengendali tribunal itu.

Thomas mempertahankan kes itu tidak bersifat akademik kerana tribunal boleh mencadangkan Yang di-Pertuan Agong tidak membayar pencen mereka.

Peguam mereka berhujah 6 bekas ahli itu tidak patut dibicarakan kerana Agong sudah meluluskan peletakan jawatan mereka dalam SPR.