Tukang emas Lubnan dakwa tak semua barang kemas Rosmah dirampas dalam jagaan pihak berkuasa

Tukang emas Lubnan menyaman Rosmah Mansor, meminta dipulangkan 44 barang kemas yang dihantar atau membayar harga barangan itu berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

KUALA LUMPUR: Sebuah firma barang kemas dari Lebanon, yang menyaman isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor berhubung 44 barang kemas mendakwa tidak semua barang kemas berkenaan berada dalam penjagaan pihak berkuasa.

Global Royalty mengemukakan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun tahun lepas, meminta dipulangkan 44 barang kemas yang dihantar kepada beliau untuk memilih atau membayar harga semua barang berkenaan yang berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Peguam David Gurupatham, mewakili firma barang kemas itu, Global Royalty Trading SAL, memberitahu pemberita plaintif (Global Royalty) memeriksa barang kemas yang dirampas itu dan ia membuat kenyataan kepada polis bahawa tidak semua barang itu ada di situ (dalam penjagaan pihak berkuasa).

“Saya tidak boleh beritahu berapa banyak yang ada kerana kami belum mengemukakan dokumen yang perlu. Sebaik kami kemukakan barulah kami dapat menjelaskan kedudukannya. Jadi ini perlu ditentukan,” katanya ketika ditanya berapa banyak barang kemas milik pelanggannya berada dalam penjagaan pihak berkuasa.

Gurupatham berkata, oleh itu pelanggannya memohon untuk menjadi perantara dalam saman pelucuthakan kerajaan ke atas barang kemas itu yang dirampas, di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

“Kami menulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meminta butiran saman pelucuthakan itu. Mereka menjawab dan kini kami akan mencelah untuk tindakan.

“Kami akan mengesahkan sama ada barang kemas itu ada di situ dan apa yang tidak ada. Kemudian barulah kami akan meneruskan dengan perbicaraan,” katanya kepada pemberita selepas perkara itu timbul untuk pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin.

Beliau juga berkata, mahkamah menetapkan 17 Sept dan dari 21 hingga 24 Okt untuk perbicaraan bagi saman dan 19 Ogos untuk pengurusan kes.

Pada 7 Mei, AGC mengemukakan satu notis pelucuthakan bagi beratus barang termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan dirampas daripada bekas perdana menteri, Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, 3 anak mereka dan 13 individu dan syarikat dan kes berkenaan ditetapkan bagi pengurusan kes pada 8 Julai di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Pada 14 Feb lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rosmah untuk memeriksa dan mengesahkan dalam 7 hari akan kewujudan 44 barang kemas yang dalam miliknya tetapi didakwa dirampas oleh polis.

Dalam samannya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, mereka menghantar 44 barang kemas termasuk rantai berlian, subang, cincin, gelang tangan dan tiara, yang setiap 1 bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 kepada defendan dengan serahan tangan menerusi 2 ejen.

Menurut syarikat berkenaan, semasa penghantaran itu, Rosmah mengesahkan dan menerima syarat-syarat serta peraturan dalam Memorandum No. 926 berhubung dengan barang kemas.

Ia juga mendakwa Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei, 2018, juga mengesahkan dan memaklumkan menerima barang kemas berkenaan tetapi berkata semua barang kemas itu tidak lagi dalam pemilikannya, dan ia dirampas dan kini disimpan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon pengisytiharaan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik kepada 44 barang kemas itu selain daripada perintah itu pemilikan ke atas barang kemas berkenaan selain arahan pemilikan barang kemas itu tidak dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon satu arahan mandatori kepada Rosmah agar menyediakan 1 senarai barang kemas yang dirampas, agar barang kemas itu dikembalikan atau Rosmah perlu membayar barang kemas itu bernilai AS$14.79 juta (RM59.83 juta).