Bomba selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam mesin basuh dobi

Mangsa bersama penyelamatnya selepas berjaya dikeluarkan dari mesin basuh automatik. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun trauma selepas terperangkap dalam mesin basuh automatik di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Larkin Perdana petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Mohd Kamil Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.38 petang, dan sebuah jentera bersama 8 anggota serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke premis berkenaan bagi bantuan menyelamat.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu sedang bermain bersama rakan yang lain dalam kedai tersebut.

“Mangsa masuk sendiri ke dalam mesin tersebut, sebelum ditutup oleh rakan yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamil berkata kejadian tersebut disedari orang awam yang berada di premis berkenaan ketika hendak menggunakan mesin basuh lalu menghubungi pihak berkuasa.

“Bomba mengambil masa 3 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan ‘rescue tool’ dengan memotong kunci pada penutup mesin basuh tersebut,” katanya.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada maklumat mangsa yang diperolehi. Kanak-kanak itu yang trauma terus berlari balik ke rumah, katanya.