Dewan Bandaraya KK bergelut dengan masalah sampah di tepi pantai

Sampai yang tersadai di pantai berdepan bangunan pentadbiran kerajaan negeri. (Gambar Facebook Zero Waste Sabah)

KOTA KINABALU: Lebih 10 tan sampah terdampar di pantai berhampiran bangunan pentadbiran negeri ini setiap minggu.

Ia merupakan sampah yang dibuang oleh penduduk bandar raya itu ke dalam longkang besar yang memuntahkannya ke muara sungai Likas dan selepas itu dihanyutkan ke laut, menurut jurucakap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Gambar tular menunjukkan pantai paling hampir dengan bangunan pentadbiran negeri dilitupi sampah itu betul,” katanya. “Ia berlaku setiap kali air pasang.”

Beliau memberitahu FMT, DBKK menganjurkan beberapa bengkel dan pelbagai bentuk kempen bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk bandar raya itu mengenai cara pembuangan sampah yang betul.

“Masalahnya ialah sikap dan mentaliti,” katanya. “Sukar untuk mengubah sikap orang ramai. Mungkin kerana adalah lebih mudah membuang sampah ke dalam longkang.”

Pantai sepanjang 1 km di hadapan bangunan pentadbiran itu dibersihkan setiap hari oleh 5 pekerja kontrak.

“Bagaimanapun sampah terus juga ada,” kata seorang pekerja yang memperkenalkan dirinya sebagai Mai.

“Ia datang dari semua tempat. Dari kawasan setinggan berdekatan, dari Kampung Likas, malah dari Pulau Gaya.”

Pulau tersebut terletak berdepan dengan pantai berkenaan.

Ketika ditemu bual, pekerja terbabit telah pun memenuhkan sebuah lori dengan sampah dan pantai tersebut memang kelihatan lebih bersih. Bagaimanapun lebih banyak sampah dibawa ombak ke situ.

“Kelmarin, tilam pun tersadai di pantai ini,” kata Mai. “Tetapi kebanyakan sampah adalah botol plastik, beg plastik dan bekas makanan.”

Pantai berkenaan telah diperuntukkan sebagai satu-satunya kawasan awam di Kota Kinabalu dan pada setiap hujung minggu ia dipenuhi pelancong dan penghuni kota.

DBKK menyediakan ruang parkir, gazebo dan tempat barbeku yang boleh digunakan secara percuma. Terdapat juga trek joging, laluan basikal, tandas, bilik persalinan dan taman permainan untuk kanak-kanak.

Tidak jauh dari pantai terdapat papan tanda tidak membenarkan aktiviti berenang kerana bahan kumbahan ditemui dalam air laut baru-baru ini. Pencemaran tersebut bagaimanapun berjaya dikawal.

Sewaktu Mai berjalan di sepanjang pantai sambil mengutip cebisan sampah di sana sini, sekeping beg plastik berwarna hijau dibawa ombak ke kakinya. Tulisan yang tertera menunjukkan ia berasal dari salah sebuah pasar raya di bandar raya itu.

“Beg plastik begini merupakan antara sampah utama yang ditemui di pantai ini,” katanya. “Ia murah dan mudah dihasilkan. Orang ramai pula tidak rasa bersalah untuk membuangnya ke dalam longkang atau laut.”

Ketika diberitahu bahawa sampah yang ditemui di pantai tersebut dan pantai berdekatan mencecah berat 10 tan seminggu, Mai berkata, beliau tidak terkejut.

“Tidak ada penghujungnya sampah yang dibawa ombak ke pantai,” katanya. “Tilam, bantal, barang permainan, malah peralatan elektrik, semuanya dibawa ke pantai ini. Kami memunggahkannya ke dalam lori sampah. Ia tak pernah berhenti”