Gangguan seksual: Biro politik PKR tentukan nasib S Kesavan esok

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata, biro politi PKR akan bermesyauarat dan menentukan nasib Kesavan.

KUALA LUMPUR: Biro politik PKR akan menentukan nasib ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, susulan laporan polis seorang wanita terhadap wakil rakyat itu atas dakwaan gangguan seksual.

“PKR akan adakan mesyuarat biro politik esok dan perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat. Mereka akan buat keputusan,” kata Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin sewaktu ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Zuraida berkata demikian bagi menjawab desakan satu kumpulan wanita yang menggesa PKR mengadakan siasatan dalaman ke atas Kesavan, yang dikaitkan dengan isu gangguan seksual terhadap pembantunya.

Kumpulan Bertindak Bersama Bagi kesaksamaan Jantina (JAG) berkata, parti politik tidak boleh bertolak ansur terhadap salah laku gangguan seksual.

Malah katanya, rakyat berhak mendapat wakil rakyat yang menghormati hak dan kehormatan wanita.

Minggu lalu, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual Kesavan, termasuk perbuatan menghubunginya sehingga 50 kali sehari, menunjukkan buku Kamasutra melalui panggilan video serta menghantar gambar lucah.

Sehubungan itu, polis Selangor mengesahkan sedang menyiasat dakwaan itu.

Kesavan menafikan dakwaan wanita itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan berniat jahat. Beliau juga menuduh wanita berkenaan menaruh perasaan terhadapnya serta cuba mengganggu rumah tangga beliau.

Pada masa sama, JAG juga mengingatkan bahawa undang-undang sedia ada didapati tidak berkesan untuk menangani kes gangguan seksual.