Hujan lebat akibatkan 2 kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands

Menurut polis, selain hujan lebat, insiden paip pecah di kawasan kebun juga menyebabkan tanah runtuh. (Gambar Facebook)

CAMERON HIGHLANDS: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan 2 kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan Ringlet, di sini, awal pagi ini, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Ashari Abu Samah berkata insiden pertama berlaku berhampiran kawasan kebun di Jalan Ulu Merah, Ringlet, pada jam 6 pagi tadi dengan keluasan runtuhan dianggarkan setinggi 15 meter (m) dan 10m panjang.

“Selain hujan lebat, terdapat paip di kawasan kebun pecah sehingga menyebabkan tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berikutan itu, laluan ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan dan pihak Jabatan Kerja Raya sedang giat membersihkan jalan, katanya.

Ashari berkata insiden ked-2 berlaku di Jalan Ringlet-Blue Valley berhampiran kuari batu syarikat perniagaan Nazri Ahmad kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Katanya, luas kawasan terlibat adalah 32m dan setakat jam 1 tengah hari ini hanya 1lorong dibuka untuk kenderaan dan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan.