Kajian: Kedudukan kewangan 16% penduduk KL merosot sejak 1 tahun lepas

Hanya 31% responden di Kuala Lumpur berkata keadaan kewangan mereka lebih baik berbanding setahun lepas.

KUALA LUMPUR: Satu kaji selidik yang dijalankan UCSI Poll Research Centre mengenai indeks sentimen pengguna baru-baru ini mendapati 16.2% responden memberitahu aspek kewangan mereka menjadi semakin buruk sejak 12 bulan lepas.

Indeks itu juga menunjukkan hampir 100% daripada 531 penduduk di Kuala Lumpur yang disoal berpendapat bahawa keadaan ekonomi semasa menjadi punca yang menghalang pertumbuhan ekonomi mereka.

Kaji selidik yang julung kalinya dijalankan di Malaysia itu menunjukkan 52.2% responden mencatatkan pertumbuhan kewangan sifar sejak 12 bulan lepas.

Bagaimanapun 31.6% responden lagi berkata, keadaan kewangan mereka kini lebih baik berbanding setahun yang lepas.

“Faktor yang terdapat dalam pendekatan kualitatif yang mempengaruhi sentimen negatif mereka berbeza-beza – dari kos hidup tinggi, pertumbuhan gaji rendah, ketidaksamaan pekerja mahir dalam pasaran buruh, kepada pengagihan pendapatan yang dianggap negatif,” kata ketua eksekutif kaji selidik itu Noppadon Kanika.

Ditanya mengenai jangkaan mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang, 47.1% responden merasakan keadaan kewangan mereka tidak akan berubah; 34.6% menjangka keadaan akan menjadi lebih baik, dan 18.3% lagi meramalkan keadaan akan bertambah buruk.

Noppadon berkata, majoriti responden menjangka para pelabur dan ahli perniagaan akan menikmati perkembangan yang positif pada tahun akan datang.

Pendekatan kualitatif dan kuantitatif UCSI Poll Research Centre dijalankan antara 13 dan 22 Mei, melibatkan sampel 531 orang yang tinggal di Kuala Lumpur.