Kenapa pemandu teksi sukar bayar hutang syarikat

Pemandu teksi yang berhutang pinjaman kenderaan mereka perlu memperoleh kutipan sewa sekurang-kurangnya RM300 sehari.

PETALING JAYA: Pada 2008, Kamarudin Mohd Hussain membuat keputusan untuk menaik taraf teksinya dan membuat pinjaman daripada Mara untuk membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV)

Sehingga kini beliau mendapati sukar untuk melunaskan hutang tersebut.

Kamarudin, yang mengetuai sebuah persekutuan persatuan pemandu teksi dan limosin, menganggarkan lebih separuh daripada 80,000 pemandu teksi di seluruh negara menanggung hutang.

Pakar persatuan teksi dan industri pengangkutan berkata, ia adalah masalah yang berkait dengan struktur pembiayaan yang boleh menyebabkan pemandu terikat dengan sesebuah syarikat teksi sehingga 10 tahun.

Kemunculan perkhidmatan e-hailing katanya, semakin menyukarkan keadaan kerana ia menyebabkan kemerosotan pendapatan pemandu teksi.

Masalah ini tidak terhad di Malaysia. Akbar The New York Times baru-baru ini melaporkan bahawa sebilangan pemandu teksi di New York amat tertekan dengan hutang sehingga mendorong mereka membunuh diri. Hampir 1,000 pemandu teksi di kota raya itu berdepan tuntutan kebangkrapan.

Menurut pakar pengangkutan, Goh Bok Yen, syarikat teksi kerap mengenakan syarat ketat ketika memberi pinjaman kepada pemandu.

Biasanya, syarikat akan memegang pemilikan ke atas lesen teksi dan mengenakan kadar sewa harian yang tinggi ke atas pinjaman yang diberikan.

Menurut sesetengah pemandu, kadar sewaan itu mungkin mencecah RM110 sehari.

Kata Goh, “pertama mereka perlu dapatkan jumlah itu. Setelah itu mereka perlu membayar kos minyak dan penyelenggaraan kenderaan. Jumlah yang berbaki adalah pendapatan mereka.”

Beliau berkata, itu bermakna seseorang pemandu teksi yang berhutang itu perlu memperoleh kutipan sewa sekurang-kurangnya RM300 sehari.

Kamarudin yang menyifatkan syarikat sedemikian sebagai “penghisap darah” berkata, mereka akan merampas milik teksi sekiranya pemandu gagal membayar sewaan selama seminggu, sedangkan bank hanya akan berbuat demikian jika bayaran tidak dibuat dalam tempoh 2 bulan 14 hari.

Beliau berkata, pemandu yang keretanya dirampas milik oleh syarikat teksi akan disenarai hitam dan tidak boleh membuat pinjaman baru.

Beliau menyalahkan kerajaan kerana “menjahanamkan industri” tersebut dengan membenarkan syarikat berbuat sesuka hati mereka.

Setiausaha Persatuan Teksi KL Selangor, S Balakrishnan berkata, kadar bayaran balik RM110 sehari itu adalah perkara biasa.

Beliau membandingkan kadar itu dengan kadar bank dan berkata, bank akan mengenakan kadar bayaran balik bulanan sebanyak RM1,100 bagi sebuah kereta Proton, yang bermakna kurang RM40 sehari.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd Shamsubahrin Ismail berkata, pemandu teksi harus menyalahkan pengurusan kewangan mereka yang buruk berikutan beban hutang yang terpaksa ditanggung.

“Mereka membelanjakan pendapatan yang diperolehi pada hari yang sama,” katanya kepada FMT.

Shamsubahrin mempertahankan syarat pinjaman yang dikenakan oleh syarikat teksi dengan berkata, “ia adil” dan pemandu hanya perlu mengemukakan seorang penjamin untuk layak mendapat pinjaman.

Katanya, syarikat berdepan masalah apabila pemandu gagal membayar pinjaman mereka.

“Liabiliti syarikat teksi semakin meningkat,” katanya, dengan menambah bahawa syarikat Big Blue belum mengutip tunggakan sebanyak RM2 juta.

Lebih buruk katanya, syarikat teksi tidak boleh mengambil tindakan undang-undang “kerana mereka tahu pemandu tidak mampu membayarnya”.