Kerajaan runding pampasan pembatalan projek saluran paip dengan firma China

Projek saluran paip yang dibatalkan adalah Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan sedang berunding dengan kontraktor-kontraktor China mengenai jumlah pampasan yang perlu dibayar susulan pembatalan projek saluran paip RM9.4 bilion.

China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPPE) dan Huanqiu Project Management (Beijing) Co Ltd (HQPMC) dibayar RM8.3 bilion, atau 88% nilai kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), walaupun dikatakan hanya 13% kemajuan kerja dicapai.

Dua projek itu adalah Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Bayaran dibuat oleh anak syarikat Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) daripada pinjaman yang dijamin kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata rundingan itu juga akan menentukan jumlah yang perlu dikembalikan kepada SSER oleh kontraktor-kontraktor berkenaan selepas menolak jumlah kos pampasan daripada jumlah pembayaran yang dibuat.

“Jabatan Peguam Negara mewakili Kerajaan Malaysia dalam rundingan ini dan akan mengesyorkan langkah seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata kemajuan kerja 13% tersebut masih tidak dapat diaudit dan belum disahkan.

Laporan sebelum ini berkata MPP terlibat dalam saluran paip untuk pelbagai projek petrokimia sepanjang 600km dari Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah pada kos kira-kira RM5.35 bilion.

TSGP pula terlibat dalam pembinaan saluran paip sepanjang 662km dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau di Sabah pada kos kira-kira RM4.04 bilion.

Lim berkata projek-projek itu sangat menguntungkan para kontraktor kerana pembayaran dibuat berdasarkan kepada kemajuan tempoh dan bukannya kepada kemajuan kerja.

Beliau berkata terma-terma kontrak itu, yang diluluskan oleh bekas perdana menteri Najib Razak, “terlampau memihak” kepada kontraktor kerana kontraktor dibayar walaupun kerja tidak disiapkan.

“Kontrak EPCC bernilai RM9.4 bilion bagi projek-projek saluran paip serta lain-lain kontrak yang berkaitan telahpun ditamatkan. Secara keseluruhan, kontrak-kontrak ini bernilai RM10.4 bilion,” katanya.

Pada 5 April lepas, Mahkamah Sesyen mengenakan denda RM18 juta terhadap SSER kerana gagal mematuhi syarat Bank Negara berhubung pinjaman banknya.

SSER, yang didenda RM3 juta bagi setiap satu daripada 6 pertuduhan, membayar denda itu.