Biri-biri tarikan terbaru di Cameron Highlands

Cameron Highlands tidak lagi asing bagi rakyat Malaysia sebagai destinasi pelancongan popular di negara ini yang terkenal dengan hasil pertanian dan suhu dinginnya.

Kawasan tanah tinggi yang terkenal dengan ladang teh, strawberi, bunga dan sayur-sayuran itu kini mempunyai tarikan terbaru – biri-biri yang diimport khas dari Australia.

The Sheep Sanctuary di Kea Farm, Brinchang dimiliki Goh Bing Tzuan, 32, yang mempunyai 14 ekor biri-biri baka merino.

Katanya, pengunjung boleh melihat lebih dekat haiwan gebu dan berbulu tebal ini setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang.

“Buat masa ini, tiada bayaran kemasukan dikenakan. Cuma pengunjung boleh membeli makanan berharga RM3 untuk diberikan kepada kambing biri-biri.

“Selain itu, mereka juga boleh bergambar dan bermesra dengan kambing-kambing ini,” katanya kepada FMT.

Goh yang membuka ladang itu 2 tahun lalu dengan 12 ekor biri-biri, mendapat inspirasi daripada ladang biri-biri di Taiwan.

“Saya mahu pengunjung merasai pengalaman agro pelancongan di mana mereka dapat mengenali kambing biri-biri jenis merino.

“Bagi yang inginkan kelainan di Cameron Highlands, bolehlah mencuba pengalaman baru di The Sheep Sanctuary,” katanya.

Beliau bercadang mencantikkan ladang itu dengan padang rumput supaya biri-biri boleh bergerak secara bebas.

“Saya turut merancang membuat cenderahati daripada bulu kambing biri-biri untuk dijual kepada pengunjung pada masa akan datang.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]