Majikan nafi berlaku diskriminasi dalam pasaran kerja

2 kumpulan majikan berkata permohonan kerja biasanya dinilai berdasarkan merit dan sikap pemohon.

PETALING JAYA: 2 kumpulan majikan mempertahankan amalan pengambilan pekerja mereka daripada dakwaan sengaja melakukan diskriminasi kaum.

Naib presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Nathan K Suppiah dan pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan memberitahu FMT bahawa anggota mereka akan merekrut pekerja berdasarkan keperluan.

Mereka berkata, sekiranya wujud gambaran berlakunya diskriminasi maka ia berkemungkinan tidak disengajakan.

Suppiah berkata, pemohon kerja biasanya dinilai berdasarkan merit dan sikap mereka.

“Jika wujud kecenderungan ke arah kaum tertentu, ia biasanya disebabkan faktor fokus pasaran syarikat, bukannya kerana niat untuk mendiskriminasi,” kata beliau.

Shamsuddin Bardan

Bercakap berdasarkan situasi andaian yang menyaksikan eksesais pengambilan menghasilkan kakitangan syarikat yang didominasi oleh kaum tertentu, Shamsuddin berkata, ia berkemungkinan besar disebabkan syarikat perlu memenuhi tuntutan tertentu dalam perniagaannya.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik baru-baru ini berkata, kuota kaum bagi program matrikulasi universiti akan dikekalkan sehingga kerajaan berjaya mengatasi masalah ketaksetaraan dalam institusi pendidikan tinggi serta diskriminasi terhadap graduan Bumiputera dalam pasaran kerja.

Badan pemikir, Pusat Kajian Governans dan Politik (Cent-GPS), dalam satu kajian yang dijalankan pada Mac lepas mendapati pencari kerja dari kaum Melayu dan India lebih berkemungkinan berdepan diskriminasi berbanding orang Cina.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor baru-baru ini menggesa majikan memastikan kakitangan mereka melambangkan komposisi kaum negara ini.

Beliau juga mencadangkan satu undang-undang digubal bagi mengatasi masalah ketidakseimbangan kaum dalam pasaran kerja.

Shamsuddin bagaimanapun mengingatkan bahawa operasi syarikat mungkin terganggu sekiranya majikan perlu menyesuaikan amalan pengambilan pekerja mereka dengan keperluan memastikan pasaran tenaga kerja yang saksama dari segi kaum.

Suppiah berkata, negara memerlukan undang-undang yang spesifik bagi menangani masalah diskriminasi dalam aktiviti sosial dan ekonomi serta aspek kehidupan yang lain.

Wong Chen

Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen mencadangkan penggubalan undang-undang anti-diskriminasi yang membolehkan penubuhan suruhanjaya dan tribunal bebas bagi menangani pertikaian yang timbul.

“Dari sudut kawal selia, kerajaan boleh memberi insentif cukai kepada majikan yang mencapai kepelbagaian kaum,” katanya kepada FMT.

Beliau juga mencadangkan penubuhan sebuah badan bagi memerangi diskriminasi kaum dan jantina dalam pengambilan pekerja.

Dalam kenyataannya Maszlee mendakwa sesetengah majikan mendiskriminasi pencari kerja yang tidak tahu berbahasa Mandarin dan wanita yang memakai tudung.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, tudung tidak seharusnya dijadikan sebab untuk melakukan diskriminasi.

Katanya kerajaan bertanggungjawab memastikan diskrimasi dihapuskan selain mendidik majikan supaya berfikiran terbuka.

Charles Santiago

Beliau bersetuju dengan cadangan penggubalan undang-undang dan polisi yang menolak diskriminasi.

“Di negara Barat, apabila anda dipanggil untuk satu-satu pekerjaan, mereka tidak akan tanya tentang umur, agama atau bangsa anda,” katanya.

Beliau menjangka diskriminasi terhadap pencari kerja Melayu dan India akan berakhir kerana semakin ramai pelajar daripada 2 kaum itu kini belajar di sekolah vernakular Cina.