MNS mahu kerajaan cari segera punca ikan mati, air Sungai Melaka berwarna hitam

Air Sungai Melaka bertukar hitam dan ikan tilapia ditemui mati di sepanjang 7km hingga ke Melaka Sentral awal minggu ini. (Gambar Bernama)

MELAKA: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menggesa kerajaan negeri Melaka segera mencari punca yang mengakibatkan ribuan ikan mati dan air sungai bertukar hitam di Sungai Melaka baru-baru ini.

Presidennya, Ahmad Ismail berkata, sekiranya fenomena itu benar-benar berulang, pihak berkuasa berkaitan seharusnya sudah mempunyai jawapan tepat mengapa ia berlaku dan mempunyai cara untuk mengatasinya.

“Adakah kejadian pertembungan air laut dan air tawar akibat tiada sekatan terhadap pintu air selalu berlaku atau pertama kali? Mereka kena segera cari sebab dan sepatutnya masalah ini sudah ada jawapan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka tentu sudah tahu jawapan tepat kalau mereka mencari sebab utama mengapa tiba-tiba air hitam dan ikan mati,” katanya.

Beliau berkata, selain memastikan ada pergerakan air bawah tanah berlaku, kandungan bahan kimia dalam sedimen, air dan sampel ikan serta kualiti air sepanjang Sungai Melaka seharusnya sudah dikaji dan dipantau lebih awal bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin buruk dan tidak terkawal.

“Difahamkan air menjadi hitam disebabkan sekatan air yang terlalu lama di baraj empangan Batu Hampar di Batu Berendam dan ini merupakan jawapan yang baik untuk kajian atau pemerhatian serta pemantauan dibuat. Mesti ada sumbernya dan sebab ikan mati. Air hitam itu kena ‘flush’ dengan air hujan atau biar air pasang surut 2 kali sehari.

Menurut beliau MNS sedia memberikan kerjasama dan pandangan mengenai langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan air sungai itu benar-benar berkualiti dan Sungai Melaka terus dijadikan pusat tumpuan pelancong.

Isnin lepas, Bernama melaporkan pencemaran Sungai Melaka yang menyebabkan air bertukar warna menjadi hitam, berbau busuk dan ikan mati dikesan berlaku, terutama di Taman Rempah di sini sejak 2 hari lepas.

Sehari kemudian, kerajaan negeri memaklumkan perubahan warna air Sungai Melaka yang bertukar hitam, berbau busuk serta banyak ikan mati di sungai itu khususnya di Taman Rempah bukan berpunca daripada pencemaran, sebaliknya dipercayai disebabkan pengaruh air laut, namun kajian serta siasatan lanjut perlu dilakukan.

Dilaporkan bangkai ikan tilapia hanya dikesan sepanjang 7 km dari muara Sungai Melaka ke Melaka Sentral dan bangkai hidupan air, terutama spesies ikan itu tidak dikesan kawasan lain atau di pintu kawalan air Batu Hampar.

Terdahulu Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk untuk mengkaji masalah itu dan menghalangnya daripada berlaku lagi pada masa depan.