Pemuda PPBM sasar 100,000 ahli di Sabah menjelang tahun depan

KOTA KINABALU: Pemuda PPBM menyasarkan 100,000 ahli di Sabah menjelang tahun depan, kata ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan watikah kepada 24 ketua penaja Pemuda PPBM bahagian di Sabah hari ini, Syed Saddiq berkata jumlah ahli Pemuda PPBM Malaysia pada masa ini antara 100,000 hingga 150,000 orang sahaja.

Beliau percaya Pemuda PPBM Sabah mampu mendaftarkan 100,000 ahli baru dalam masa setahun, melihat kepada kerja keras ahli-ahlinya.

“Saya bangga dengan pencapaian mereka. Mereka bekerja keras dan pergi ke akar umbi sejak peringkat awal, walaupun mereka tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti lagi,” katanya.

Beliau berharap momentum itu akan berkekalan dan menggesa PPBM Sabah memastikan hubungan antara peringkat kebangsaan dan negeri terus kukuh.

Beliau berkata parti itu akan merancakkan aktiviti-aktiviti dan program untuk berkhidmat kepada rakyat dan berusaha memastikan tiada tembok yang memisahkan parti dan rakyat.

“Pada pilihan raya umum yang lalu, terdapat lebih daripada 25 pemimpin belia yang dilantik sebagai calon oleh parti ini. Jumlah itu lebih daripada parti-parti lain.

“Selain itu, PPBM satu-satunya parti yang membenarkan belia menjadi sebahagian daripada majlis presiden Pakatan Harapan. Ini jawatan kepimpinan tertinggi.

“Bahkan dalam rundingan kerusi dengan parti lain, ada wakil dari sayap Pemuda dan itu menunjukkan PPBM serius mengenai isu belia,” katanya.

Beliau juga menasihatkan Pemuda jangan menjadi “pak turut” dan memastikan suara rakyat, terutama golongan muda, terus didengari kepimpinan tertinggi parti.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Penyelaras PPBM Sabah Hajiji Noor dan timbalannya, Masidi Manjun.