Polis nafi ubah logo pasukan, gugur kalimah Allah, Muhammad

Logo polis dengan kalimah Allah dan Muhammad hanya boleh digunakan pada bendera, papan tanda atau bahan yang diletakkan di tempat tinggi.

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan yang pihaknya mengubah logo pasukan itu, dengan mengugurkan kalimah Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Ketua komunikasi korporat polis Urusetia Ketua Polis Negara Asmawati Ahmad berkata, pihaknya menetapkan 2 garis panduan dalam penggunaan logo pasukan yang berkuatkuasa pada 2014 di bawah kepimpinan Khalid Abu Bakar yang merupakan ketua polis negara ketika itu.

“Logo polis dengan kalimah Allah dan Nabi Muhammad SAW hanya boleh digunakan pada bendera, papan tanda atau bahan yang diletakkan di tempat atau lokasi tinggi.

“Logo yang tidak tertera kalimah Allah dan Nabi Muhammad pula diguna pakai dalam urusan percetakan (buku atur cara, notis atau kenyataaan) agar tidak tercemar kesucian kalimah itu, jika risalah berkenaan dijadikan pelapik duduk, dipijak dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Asmawati turut berharap, pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan dakwaan palsu mengenai isu logo itu menghentikan tohmahan liar yang mampu membangkitkan kegusaran dan menjejaskan kredibiliti polis sebagai pasukan keselamatan di mata rakyat.