Polis Thai tahan lelaki bawa pasport palsu Malaysia, rampas wang tunai RM2 juta

Rekod menunjukkan lelaki berkenaan telah beberapa kali membawa pasport palsu yang sama memasuki sempadan Thailand-Myanmar.

BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang lelaki yang membawa pasport palsu Malaysia palsu dan wang tunai AS$500,000 di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, semalam.

Timbalan komander Bahagian Biro Polis Imigresen, Roengron Rimphadee berkata, pihak berkuasa mengesan pasport palsu itu berdasarkan sistem pengimbas biometrik.

Beliau berkata, lelaki tersebut hendak menaiki pesawat Philippines Airlines ke Filipina apabila dia ditahan.

“Peranti itu mendapati wajahnya tidak sepadan dengan cip pasport.

“Bagaimanapun suspek menegaskan bahawa dia adalah lelaki yang sama. Kemudian, kami mendapati dia membawa pasport palsu, ” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah pegawai Imigresen menemukan wang tunai tersebut dalam bagasinya.

“Kami cuba mengenal pasti sama ada suspek lain terlibat dalam penipuan pasport,” katanya.

Rekod menunjukkan bahawa lelaki itu telah beberapa kali membawa pasport palsu yang sama memasuki sempadan Thailand-Myanmar.

Bagaimanapun, Imigresen tidak memberitahu kerakyatan lelaki itu.

Dia ditahan untuk siasatan lanjut.