Putrajaya cadang sistem pemeriksaan 1 henti di sempadan Malaysia-Thailand

BUTTERWORTH: Kerajaan merancang untuk mewujudkan sistem pemeriksaan satu henti di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Danok, Thailand bagi melicin serta memudahkan aliran dagangan antara dua negara berkenaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata menerusi sistem itu, ia bukan sahaja memudahkan proses pemeriksaan malah dijangka dapat menambah perdagangan 2 hala.

“Menerusi sistem itu, pemeriksaan barangan atau dagangan yang masuk dan keluar masing-masing dari Malaysia dan Thailand hanya dibuat sekali sahaja dan tidak perlu lagi berulang kali seperti sekarang ini.

“Malah sistem itu boleh digunapakai sehingga ke Pelabuhan Pulau Pinang. Ini secara tidak langsung meningkatkan peluang perdagangan di wilayah utara,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang di Kampung Kastam malam tadi.

Lim berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan Thailand dan Malaysia perlu menunggu sehingga negara itu selesai menubuhkan kerajaan baru sebelum meneruskan perbincangan.

“Sistem itu merupakan perancangan kerajaan Malaysia dan disokong penuh oleh Thailand, namun sekarang ini perbincangan perlu ditangguhkan sehingga mereka selesai menubuhkan kerajaan baharu sebelum kedua-dua negara membuat perbincangan lebih mendalam,” katanya.

Menurut Lim, untuk permulaan kedua-dua negara mula menjalankan beberapa projek pembangunan di sempadan masing-masing dalam usaha merealisasikan perancangan sistem berkenaan.

Menurutnya, pembangunan di Bukit Kayu Hitam khususnya melalui Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) mampu menjadikan kawasan itu sebagai hab logistik dan Kementerian Kewangan juga meluluskan RM25 juta untuk membangunkan depoh trak.