Selepas kalah PRU14, kelab Umno luar negara bakal dikecilkan

Antara aktiviti KULN adalah menganjurkan ‘Hari Keluarga’ sebagai program ramah mesra sesama ahli.

PETALING JAYA: Kelab Umno yang beroperasi di luar negara bakal berdepan langkah pengecilan dan penggabungan bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang perlu ditampung parti itu.

Pengerusi Kelab Umno Luar Negara (KULN) , Wan Agyl Wan Hassan ketika dihubungi FMT berkata, jumlah kelab di bawah KULN akan dirasionalisasikan semula sebagai langkah penjimatan dan pengurusan yang lebih mudah.

“Juga untuk memastikan kelab-kelab ini kekal aktif,” katanya kepada FMT.

Wan Agyl berkata, KULN masih berfungsi dengan matlamat asal iaitu memfokuskan kebajikan sosial kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Bagaimanapun, beliau mengakui aktiviti kelab menjadi semakin terhad selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

“Kelab-kelab ini masih bergerak seperti biasa, cuma agak terhad memandangkan Umno bukan lagi parti memerintah,” katanya.

Beliau berkata, KULN perlu mempunyai kerjasama dengan badan antarabangsa untuk kelangsungan kelab-kelab sedia ada.

“Bukan untuk menampung perbelanjaan kelab tetapi lebih kepada perluasan hala tuju kelab seperti sukan dan program kemanusiaan di peringkat antarabangsa,” katanya sambil menambah perkara itu hanya boleh ditentukan barisan sekretariat kelab yang diterajui sayap Pemuda Umno.

KULN ditubuhkan pada 1956 di New York, Amerika Syarikat. Penubuhan kelab tersebut tertumpu untuk menyatukan masyarakat Melayu dan pelajar yang bermastautin di sana.

Berdasarkan rekod terakhir pada November 2016, KULN terdiri daripada 80 kelab dengan 12,000 keahlian meliputi 18 negara seluruh dunia.

Ketika ditanya mengenai konsistensi ahli sama ada mereka masih kekal sebagai ahli ataupun beralih arah selepas PRU14, katanya, perubahan bukanlah perkara luar biasa.

“Terdapat juga ahli kelab yang yang menyertai kelab baru seperti Kelab Bunga Raya yang baru ditubuhkan memandangkan Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 yang lalu,” katanya.

Wan Agyl menambah, aktiviti KULN masih berjalan baik dengan aktiviti terbaru melibatkan perbincangan politik, kebajikan dan sukan di Indonesia.