Setiap jalan di Brickfields ada sejarah, pengerusi Rukun Tetangga tegur Mujahid

Pengerusi Rukun Tetangga Brickfields, S Kanakiahnaidu berkata setiap jalan di Brickfields ada sejarah, seperti Jalan Sultan Abdul Samad.

KUALA LUMPUR: Rukun Tetangga Brickfields hari ini tidak bersetuju dengan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa menukar nama satu jalan di kawasan itu kepada “Jalan Harmoni”.

Pengerusi S Kanakiahnaidu mengingatkan setiap jalan di Brickfields itu ada sejarahnya, dan memberikan nama baru hanya kerana terdapat rumah-rumah ibadat semua agama di situ boleh mengundang kemarahan penduduk.

“Seperti Jalan Sultan Abdul Samad, ada sejarahnya. Kalau nama jalan ini ditukar, saya menjangkakan ramai pihak, khususnya orang lama, akan bising kerana seolah-olah memadamkan sejarah,” katanya kepada FMT hari ini.

Pada Januari 2015, Kanakiahnaidu juga tidak bersetuju dengan keputusan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, yang mengumumkan sebahagian Jalan Travers, dari simpang Jalan Tun Sambanthan hingga ke simpang Jalan Bangsar, dinamakan “Jalan Rakyat”.

Keputusan itu bagi mengabadikan nama Bank Rakyat dan meraikan rakyat.

“Jika sewenang-wenangnya tukar nama jalan, ia tidak bagus,” kata Kanakiahnaidu. “Dahulu pun ada isu apabila kerajaan Barisan Nasional tukar sebahagian nama Jalan Travers kepada Jalan Rakyat.”

Semalam, Mujahid mencadangkan salah satu jalan di Brickfields diberi nama Jalan Harmoni kerana terdapatnya rumah-rumah ibadat semua agama di situ, yang menurutnya simbolik perpaduan, dan akan bertemu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengenai cadangan itu.

Sebuah gereja Katolik, gereja Lutheran, 3 kuil Hindu dan 2 surau terletak di Jalan Sultan Abdul Samad; sebuah gereja Marthomar Syria dan gereja Katolik di Jalan Tun Sambanthan; sebuah gereja Methodist dan kuil Buddha di Jalan Berhala; 2 kuil Hindu di Jalan Scott; dan sebuah tokong Cina di Jalan Thambipillai.

Kanakiahnaidu bagaimanapun menyarankan Mujahid mencadangkan kawasan yang disukai itu diberi gelaran “Kampung Harmoni” sepertimana “Kampung Portugis” di Melaka dan “Little India” di Brickfields.

“Saya harap selepas Mujahid selesai memberi cadangan kepada menteri Wilayah Persekutuan, beliau bersetuju untuk memberi gelaran ‘Kampung Harmoni’, tetapi bukan untuk menukar namanya,” katanya.