Shafie gesa pembangkang henti tuduh kerajaan beri kad pengenalan kepada pendatang asing

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal.

SEMPORNA: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal membidas kumpulan politik tertentu yang menggunakan bulan Ramadan untuk menyebarkan pembohongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Warisan

Beliau berkata, kumpulan tersebut terus memfitnah kerajaan dan Warisan dengan mendakwa ia memberi kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin.

“Jangan sebarkan pembohongan bagi meraih mata politik pada bulan Ramadan ini. Tidak ada gunanya berpuasa apabila perbuatan kita sebaliknya. Kenapa cetuskan kebencian dengan menyebarkan berita palsu di media sosial,” katanya kepada hadirin di rumah beliau di Semporna, semalam.

Shafie merujuk satu hantaran di media sosial yang menunjukkan sekumpulan pendatang asing didakwa memohon kad pengenalan Malaysia kononnya dengan menggunakan dokumen kerajaan dengan logo Warisan tercetak di atasnya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman dan Jabatan Pendaftaran Negara menafikan kewujudan apa-apa program bagi mendaftarkan pendatang tanpa izin.

Mereka juga menegaskan borang dengan logo kerajaan itu tidak lagi digunakan oleh jabatan berkenaan.

Warisan, yang membuat laporan polis berhubung perkara itu berkata, ia mungkin dilakukan parti pembangkang tertentu yang terus mendakwa kerajaan secara aktif memberi kerakyatan kepada orang asing.

Shafie juga menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan kerana ia merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Beliau meminta perkara itu dihentikan dan semua pihak sebaliknya bekerja bagi pembaikan negeri Sabah.

Katanya rancangan pembangunan telah disediakan untuk semua bahagian negeri berkenaan dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

Terdahulu lebih 2,000 orang menghadiri majlis berbukan puasa di Masjid Ar-Rahman di sini yang menyaksikan Shafie menyampaikan bantuan Hari Raya kepada golongan miskin dan murid sekolah.