Tak ramai pemandu e-panggilan ambil lesen PSV, kata timbalan menteri

SEREMBAN: Pengambilan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dalam kalangan pemandu perkhidmatan e-panggilan setakat ini masih kurang, meskipun Kementerian Pengangkutan memberi kelonggaran masa untuk berbuat demikian.

Timbalan Menteri Kamaruddin Jaafar berkata kerajaan mengalakkan pemandu e-panggilan mendapatkan lesen PSV sebelum tarikh penguatkuasaannya 12 Julai ini.

“Kita mengalakkan supaya mereka yang terlibat menjadi pemandu e-panggilan ini segera melalui proses perolehan lesen PSV.

“Masih belum ramai lagi…Jadi kita cuba mengalakkan malah memberi kemudahan kepada mereka melalui proses ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis sempena Ramadan malam tadi.

Beliau mengulas mengenai sambutan pemandu perkhidmatan e-panggilan, terhadap langkah yang diambil kementerian itu yang bersedia memberi kelonggaran masa kepada mereka untuk menghabiskan kursus 6 jam bagi mendapatkan lesen PSV.

Antara perkara yang dipermudahkan ialah membolehkan pemandu e-panggilan menjalani kursus dalam talian dan tidak perlu ke kelas, diberi masa anjal menghabiskan kursus selama 6 jam secara berperingkat serta 1 jam peperiksaan ujian berkomputer.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata susulan langkah berkenaan tiada alasan untuk mereka tidak mengambil lesen PSV.

Beliau juga berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu e-panggilan yang didapati tidak memiliki lesen PSV selepas ia dikuatkuasakan.

“Kementerian membuat keputusan hanya pemegang lesen PSV sahaja boleh menjadi pemandu e-panggilan. Sekiranya mereka tidak mempunyai lesen secara tidak langsung, mereka telah melanggar peraturan menjadi pemandu.

“Semua ini tertakluk dalam undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada mereka adalah pemandu teksi dan pemandu e-panggilan tidak mempunyai lesen, maka kesalahan dan hukuman tetap sama,” katanya.