Tiada rakyat Malaysia terlibat rusuhan di Jakarta, kata Saifuddin

6 dilaporkan terkorban dan 200 cedera dalam rusuhan di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada demonstrasi membantah keputuan pilihan raya presiden negara itu. (Gambar Reuters)

TEMERLOH: Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam siri rusuhan pasca pilihan raya Indonesia di sekitar Jakarta sejak kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di ibu negara itu dan memberi jaminan kementerian akan terus mengikuti perkembangan semasa di negara itu.

“Kita berharap keadaan akan segera pulih seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Perdana Ramadan Persatuan Penggerak Muafakat Pahang, di sini, semalam.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia supaya menjauhi kawasan tumpuan peserta demonstrasi seperti Tanah Abang, Tamrin, Sabang dan Menteng.

Media sebelum ini melaporkan 6 terkorban dan 200 lagi cedera dalam rusuhan di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada demonstrasi membantah keputuan pilihan raya presiden Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Saifuddn memberi jaminan kerajaan akan membantu rakyat Malaysia, P Pannir Selvam, 32, mendapat nasihat guaman terbaik untuk mencabar proses pengampunan terhadap hukuman mati ke atasnya di Singapura.

Saifuddin mengesahkan beliau telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong dan mencapai persetujuan supaya Liew menangani kes berkenaan.

Media melaporkan Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan Pannir Selvam untuk menangguhkan hukuman mati yang dihadapinya dan membolehkan beliau mencabar proses pengampunan.

Pannir Selvam dijatuhkan hukuman itu pada 27 Jun 2017 oleh Mahkamah Tinggi negara itu kerana mengedar 51.84 gram diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014.