Buku teks Pendidikan Moral silap dan mesti ditukar, kata Chandra Muzaffar

Muka depan buku teks subjek Pendidikan Moral Tahun 6 yang diterbitkan pada 2015.

PETALING JAYA: Prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, merangkumi semua agama, bukan sahaja agama Islam dan telah disalah tafsir dalam buku teks Pendidikan Moral Tahun 6, kata cendekiawan terkenal, Chandra Muzaffar.

Beliau menggesa Menteri Pendidikan Maszlee Malik supaya membetulkan kesilapan itu supaya Rukun Negara ditafsirkan dengan betul.

“Sangat menyedihkan sekiranya buku teks itu tidak dibetulkan,” katanya.

Chandra memberi respons terhadap satu kertas peperiksaan setengah penggal mengenai Rukun Negara di sebuah sekolah rendah di Shah Alam.

Kertas soalan yang menyebabkan pelajar kehilangan 2 markah kerana tidak bersetuju dengan pilihan jawapan yang diberikan.

Seorang pelajar memilih tidak menjawab satu soalan tentang bagaimana prinsip pertama Rukun Negara perlu diikuti. Pilihan jawapan yang diberikan ialah “menerima agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan”.

Pengetua sekolah rendah di Shah Alam itu berkata, kertas peperiksaan tersebut adalah selari dengan buku teks Pendidikan Moral yang diterbitkan oleh kerajaan pada 2015.

Chandra memberitahu FMT bahawa, kata-kata yang digunakan dalam buku teks tersebut “mengisyaratkan dan memberi gambaran bahawa prinsip Kepercayaan kepada Tuhan dalam Rukun Negara itu bermakna menerima Islam sebagai agama rasmi Persekutuan”.

Beliau juga berkata, Rukun Negara bertujuan meliputi semua agama, sama ada Kristian, Hindu, Buddha, Sik dan lain-lain. Ia bukan khas untuk mana-mana agama.

Kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan disebut dalam perlembagaan, bukannya dalam Rukun Negara, katanya.

Buku teks Tahun 6 yang menghuraikan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan sebagai menerima Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Chandra berkata, Rukun Negara digubal oleh Majlis Perundingan Negara pada Januari 1970 dan nota huraian kepada rekod prosidingnya menyebut bahawa “kepercayaan kepada Tuhan adalah prinsip yang pertama kerana majoriti rakyat Malaysia percaya kepada Tuhan, tetapi ia tidak dikaitkan dengan mana-mana agama,” katanya.

Buku teks Pendidikan Moral 2015 itu tidak selari dengan Rukun Negara dan aspirasi Majlis Perundingan Negara 1969, kata beliau.

“Buku teks tersebut tidak harus mengaitkan prinsip itu kepada Islam. Itu salah,” katanya.