Ditemani hingga lewat malam, Najib akui masih cuba fahami sambutan rakyat
Bekas perdana menteri menyifatkan sambutan yang diterimanya “luar biasa”.
PETALING JAYA: Najib Razak akui dia masih cuba memahami sebab-sebab sambutan “hangat” dan “luar biasa” yang diterimanya di banyak tempat dan ketika, walaupun dia kini hanya seorang pemimpin pembangkang.
Ketika berkongsi pengalamannya turun padang di bulan Ramadan dengan pemberita hari ini, bekas perdana menteri itu berkata ada orang sudi menemaninya makan sehingga lewat malam.
“Mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku. Waktu saya jadi perdana menteri, saya terikat dengan kawalan protokol dan keselamatan yang ketat,” katanya dalam sesi bersama media di Pulau Pinang yang disiarkan di Facebook.
“Tapi rakyat tak suka bila pemimpin ada halangan macam itu. Mereka nak dekat tapi tak dapat, mereka kena tepis, kena marah, kena herdik, mereka tak suka. Jadi lama-kelamaan mereka agak menjauhkan diri.
“Itu satu faktor dan ada faktor-faktor lain yang menyebabkan perubahan ini.”
Najib berkata dia kini mengambil sikap santai, tidak rasmi, dan mudah didekati secara fizikal. “Nampaknya rakyat menyukai cara, gaya dan pendekatan itu.”
Ditanya pemberita tidakkah dia bimbang akan keselamatan dirinya, Najib menjawab: “Rakyat jadi ‘bodyguard’ saya”.
Facebook Najib menunjukkan dia berada di Pulau Pinang sejak awal pagi tadi. Selepas bersahur nasi kandar di Butterworth, Najib juga mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan pimpinan Umno negeri “untuk berbincang soal semasa”.
Sementara itu, Najib tidak lagi berminat untuk berdebat dengan orang lain selepas pemimpin DAP, Lim Kit Siang menarik diri.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Tak payahlah, nampak Lim dah lari tengah malam, tidak apalah,” katanya.