Gobind minta rakyat bantu hadapi ancaman di alam siber

Gobind Singh berkata kerjasama antara kerajaan, rakyat dan semua kaum kunci menghadapi ancaman terhadap perpaduan dan keharmonian di alam siber.

KUALA LUMPUR: Rakyat diminta membantu kerajaan berdepan ancaman di ruang siber, iaitu pihak-pihak yang cuba mengeruhkan perpaduan dan keharmonian di dalam talian, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kerjasama antara kerajaan, rakyat dan semua kaum salah satu kunci menghadapi ancaman seperti itu.

“Tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan. Kepelbagaian rakyat Malaysia wajib dipertahankan dan diperkukuhkan demi masa hadapan yang lebih cerah dan makmur,” katanya ketika berucap di majlis rumah terbuka Vaisakhi di Padang Merbok malam tadi.

Gobind berkata masyarakat di Malaysia dan di negara-negara lain berdepan pelbagai bentuk ancaman dan cabaran di alam siber.

Beliau menegaskan kerajaan komited menangani isu-isu yang boleh memberi kesan negatif ke atas masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Sementara kerajaan memastikan media kekal bebas, ia bukan bererti fitnah dan berita palsu boleh disebarkan dengan niat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat,” katanya.

Sementara itu. Gobind ketika ditemui pemberita berkata belum ada perkembangan baru mengenai cadangan Majlis Media Malaysia buat masa ini.

Beliau menambah perkembangan mengenai majlis itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya sudah terima beberapa cadangan tetapi cadangan masih dikaji. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pihak-pihak yang beri cadangan dalam masa terdekat,” katanya.