Jais: Syiah, Ahmadiah tidak dijemput ke majlis buka puasa kerana berbeza fahaman Islam
Kelompok Syiah dan Ahmadiah mempunyai kefahaman Islam yang berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
SHAH ALAM: Penganut fahaman Syiah, Ahmadiah dan golongan minoriti lain tidak dijemput ke majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana mempunyai fahaman Islam yang berbeza daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), kata ketua penolong pengarah jabatan itu, Sabariah Salleh.
Beliau berkata demikian selepas penganjuran majlis berkenaan dengan ketua komuniti agama Kristian, Buddha, Hindu dan Bahai bersama Jais di sebuah hotel di sini, semalam.
Majlis itu adalah salah satu daripada program berbuka puasa antara agama yang dianjurkan bersama dengan Global Unity Network, sebuah kumpulan yang diketuai aktivis Islam, Shah Kirit Kakulal Govindji, yang juga merupakan penerima anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan pada 2012.
Antara yang hadir menyertai umat Islam berbuka puasa ialah ketua komuniti agama Hindu, Chantheran Thuraisamy; ketua komuniti agama Kristian, Lee Min Choon; ketua komuniti agama Buddha, Kon Chee Min dan ketua komuniti agama Bahai, Loudesamy.
Dalam pada itu Sabariah yang enggan menjawab soalan berkenaan keputusan tersebut berkata, sebarang pertanyaan dari sudut hukum mengenai fahaman Syiah atau Ahmadiah hendaklah dirujuk kepada mufti negeri.
“Itu (saya) tak boleh kupas secara lengkap. Tetapi kalau kita rujuk kepada mufti, maka kita akan jelas,” katanya.
Sementara itu, Shah Kirit berkata, golongan Syiah dan Ahmadiah berbeza dari segi kefahaman tentang Islam, sementara kelompok agama Buddha, Kristian dan Hindu pula berbeza dari sudut agama itu sendiri dan berada di luar Islam.
Kata beliau, pada masa ini Global Unity lebih memberi tumpuan kepada usaha mengadakan dialog antara agama, bukannya intra-agama, namun pada masa akan datang, beliau bercadang untuk menganjurkan forum dan akan menjemput golongan minoriti itu.
“Tak lama lagi, kita akan adakan, kita dialog secara berdepan.
“Berdialog untuk cari kebenaran, bukan untuk menang. Kita doakan masing-masing akan merendah diri,” katanya.
Shah Kirit berkata, program berbuka puasa bersama-sama komuniti agama lain itu sudah masuk tahun ke-4 berturut-turut.
Beliau berkata, kali pertama majlis itu diadakan sebelum ini mengundang banyak tomahan dan salah faham dalam kalangan badan agama, khususnya Jais.
“Berikutan berlaku salah faham itu, kami cuba fikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikannya dan kami undang mereka bersama-sama menganjurkannya.
“Kita anjurkan program, kita bawa Jais, kita bawa kepimpinan pelbagai agama duduk sama-sama dan makan sama-sama,” katanya.
Shah Kirit berkata, penganjuran majlis berbuka puasa dengan pelbagai komuniti agama itu dapat mengeratkan hubungan dan persefahaman antara mereka, selain memudahkan semua pihak mengatasi masalah berbangkit yang mungkin timbul.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Sejak ada program sebegini banyak masalah dapat diselesaikan. Ketegangan dengan badan agama semakin berkurang,” katanya.