Liew: Saya tidak campur tangan kes hukuman mati banduan di mahkamah Singapura

Menteri undang-undang Liew Vui Keong berkata, dakwaan bahawa beliau campur tangan dalam proses kehakiman Singapura ‘tidak boleh dipertahankan’.

PETALING JAYA: Menteri undang-undang, Liew Vui Keong hari ini menafikan beliau campur tangan dalam satu kes di mahkamah Singapura yang menyaksikan hukuman mati ke atas seorang keldai dadah warga Malaysia ditangguhkan selepas menulis surat rayuan bagi pihak pesalah terbabit.

Dalam satu kenyataan, menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, adalah “jelas” Mahkamah Rayuan Singapura menangguhkan hukuman mati ke atas Pannir Selvam Pranthaman selepas “menimbangkan hal keadaan dan undang-undang yang terpakai dalam kes tersebut”.

Justeru katanya, dakwaan bahawa beliau campur tangan dalam proses kehakiman republik itu “tidak boleh dipertahankan”.

“Dakwaan saya campur tangan dengan sistem kehakiman mereka tidak berasas sama sekali. Ia hanyalah khayalan sesetengah orang,” kata Liew, selain menambah bahawa Malaysia menghormati keputusan mahkamah Singapura.

Beliau juga berkata, mahkamah Singapura hanya memberi penangguhan sementara kepada Pannir bagi membolehkan beliau menggunakan semua hak perundangan dan perlembagaannya dengan mendapatkan khidmat peguam yang kompeten yang dipilihnya.

“Adalah tidak adil sama sekali sekiranya beliau menjalani hukuman mati dalam keadaan hak asasinya itu dinafikan,” katanya.

Terdahulu ketika menjelaskan secara terperinci perkembangan yang berlaku, Liew berkata, beliau bercakap dengan seorang menteri kanan di kementerian undang-undang Singapura 2 hari sebelum Panir dijatuhi hukuman mati kerana beliau tidak dapat menghubungi Menteri Dalam Negeri K Shanmugam.

Liew berkata, beliau juga memperoleh kebenaran daripada Wisma Putra untuk berhubung dengan kerajaan Singapura dan menghantar e-mel kepada mereka. Beliau mengemukakan representasi berdasarkan hujah undang-undang yang sahih.

Katanya, pada petang Rabu yang sama, Pannir mengemukakan permohonan untuk menangguhkan hukuman berdasarkan beberapa hujah undang-undang, termasuk mencabar langkah pihak pendakwa tidak mengeluarkan sijil pengakuan berhubung dakwaannya membantu polis Singapura semasa proses penyiasatan bagi menyekat aktiviti berkaitan dadah di negara itu.

Pannir juga memohon untuk mencabar penolakan petisyen meringankan hukuman oleh presiden Singapura. Pannir mendakwa beliau hanya diberikan petisyen itu pada hari kakaknya diberitahu tentang hukuman mati yang akan dijalaninya.

Dilaporkan Liew menulis surat rayuan itu bagi pihak Pannir, 31, yang ditahan kerana membawa 51g heroin di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 2014.

Pannir dijadualkan menjalani hukuman mati pada Jumaat, tetapi Mahkamah Rayuan Singapura memberi penangguhan hukuman sehari sebelum itu.

Berikutan itu Shanmugam dilaporkan berkata, pengecualian dan penangguhan hukuman mati ke atas keldai dadah dari Malaysia “tidak boleh dipertahankan” kerana ia menggugat penguatkuasaan undang-undang di Singapura.

Beliau juga berkata, sesetengah anggota kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpegang pada “ideologi” yang menolak hukuman mati.