Masalah dalaman PH mungkin paksa pilihan raya diadakan lebih awal

Presiden MCA Wee Ka Siong percaya pilihan raya umum akan datang bakal diadakan lama sebelum mandat kerajaan PH tamat pada 2023.

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Wee Ka Siong membangkitkan kemungkinan pilihan raya umum diadakan lebih awal berikutan masalah dalaman dihadapi Pakatan Harapan (PH), termasuk isu ketidakjelasan proses peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Dalam satu temu bual dengan FMT, Wee berkata, beliau menjangka pilihan raya akan diadakan lama sebelum mandat kerajaan PH tamat pada 2023.

“Jika Anwar akan menjadi perdana menteri, kenapakah Dr Mahathir tidak melantiknya sebagai timbalan perdana menteri?” soal Wee.

Beliau berkata, pada 2002, Dr Mahathir, sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika itu, menamakan timbalan beliau, Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti, justeru memberikan masa sekurang-kurangnya 1 tahun kepada Abdullah untuk bersedia.

Bagaimanapun pada kali ini, banyak pihak, termasuk pelabur asing bertanyakan soalan sama ada baton kepimpinan itu benar-benar akan diserahkan kepada Anwar. Ini menujukkan wujudnya langkah politik lain dalam isu ini.

“Kita juga boleh melihat tanda bahawa pakatan politik itu goyah dan pemimpinnya saling tidak bersetuju antara satu sama lain. Tampak kurangnya konsesus dalam kalangan mereka mengenai pelbagai isu,” kata Wee.

“Pelan peralihan kepimpinan mestilah jelas sekiranya kita mahukan negara aman dan stabil.”

Wee berkata, inilah antara sebab kenapa beliau percaya kemungkinan pilihan raya lebih awal tidak boleh ditolak.

“Di sesetengah negara, apabila seseorang pengganti menerima baton kepimpinan daripada pemimpin sebelumnya, pilihan raya akan diadakan bagi memastikan beliau mendapat mandat baru.

“Sekiranya ada pertikaian, pemimpin berkenaan akan menyerahkan keputusan tersebut untuk dibuat oleh rakyat dalam pilihan raya kerana beliau tidak akan rugi apa-apa,” katanya.

Justeru itu kata Wee, pilihan raya mungkin diadakan lebih awal.

Fokus pada ekonomi

Sebagai bekas menteri pusat, Wee menggesa kerajaan supaya kurangkan bercakap, sebaliknya memberi tumpuan pada isu ekonomi, dengan berkata, kenyataan cuai beberapa menteri sepanjang 1 tahun lepas memberi kesan buruk kepada negara.

“Mereka bercakap tentang hutang RM1 trilion, tetapi Bank Negara (BNM) menunjukkan angka RM686 bilion sebelum berlakunya perubahan kerajaan. Sekarang ia meningkat kepada RM785.3 bilion, iaitu hampir RM100 bilion lebih banyak.

“Anda bukan lagi pemimpin pembangkang atau ahli Parlimen penyokong kerajaan yang boleh membuat kenyataan tanpa memikirkan kesannya. Sebagai kerajaan, anda perlu bertanggungjawab ke atas cakap anda, selain menyokong kenyataan itu dengan data dan angka,” kata Wee.

Kerajaan pusat tidak boleh berharap pelabur asing akan datang dan menyelamatkan ekonomi sedangkan mereka tidak memberi gambaran yang tepat tentangnya. Pelabur akan beralih ke pasaran lain di rantau ini yang dilihat lebih stabil.

“Mereka (menteri) perlu menutup mulut masing-masing dan tidak bercakap sebarangan. Rakyat tidak mahu PH hanya sekadar bercakap. Malah Kadir Jasin sendiri, yang rapat dengan Dr Mahathir, berkata, pencapaian sesetengah menteri tidak memuaskan.”

Wee berkata, PH mengambil beberapa langkah yang boleh dipuji seperti reformasi Parlimen dan melantik anggota pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Bagimanapun pun kebimbangan utama sekarang ialah keadaan ekonomi negara, katanya. Banyak perniagaan, seperti peruncit berdepan masalah berikutan kemerosotan kuasa beli dalam kalangan orang ramai.

“Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk merangsang ekonomi. Setakat ini, tidak ada rancangan konkrit bagi membantu peniaga kecil atau mereka yang terlibat dalam pasaran komoditi.”

Wee, yang merupakan ahli Parlimen Air Hitam berkata, peladang kecil kelapa sawit di kawasannya menerima kesan buruk akibat kemerosotan harga komoditi itu, dan ramai yang hilang sehingga 50% pendapatan mereka.

“Saya berharap kerajaan akan mengambil langkah berkesan bagi membantu golongan ini, bukannya setakat mencadangkan supaya mereka menanam buluh.”