Pelajar pribumi perlu dibantu, kata kolej universiti

Rebecca Alex (kiri) dan Jane Lynette Joannes dengan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen TAR UC di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Bagi 2 graduan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), diploma yang diperolehi mungkin gagal dimiliki tanpa sifat dermawan serta kepercayaan institusi pengajian tinggi itu terhadap diri mereka berdua.

Jane Lynette Joannes dan Rebecca Alex merupakan penerima dermasiswa khas kolej tersebut untuk pelajar pribumi miskin dan berkebolehan dari kawasan pedalaman Sabah.

Dermasisiwa tersebut menampung yuran pelajaran sepanjang tempoh pengajian mereka.

Jane yang mendapat diploma kejuruteraan sistem maklumat berkata, beliau merancang untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang sama di TAR UC di Kuala Lumpur.

“Saya bernasib baik kerana berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana. Bapa seorang juruteknik IT, sementara emak bekerja di sebuah salon. Pendapatan rumah tangga kami kira-kira RM2,000 sebulan bagi menampung keluarga seramai 6 orang.

“Tanpa dermasiswa itu, tentu sukar bagi pelajar seperti saya melanjutkan pelajaran,” katanya kepada FMT.

Pamela Yong.

Rebecca yang memperoleh diploma dalam pengurusan hotel berjaya mendapat kerja di sebuah hotel di sini.

Anak sulung daripada 6 beradik, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya membantu keluarga kerana ayahnya, seorang pemandu di Singapura, adalah sumber pendapatan tunggal mereka sekeluarga.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan untuk melanjutkan pelajarannya pada masa akan datang.

Pengerusi jawatankuasa pemilih dermasiswa Pamela Yong berkata, kolej berkenaan menawarkan insentif kepada pelajar yang layak sejak 3 tahun lepas.

Bagaimanapun katanya hanya 17 pelajar yang layak menerima dermasiswa tersebut.

Ini katanya berpunca daripada sikap pelajar yang takut berbahasa Inggeris, tahap keyakinan diri yang rendah dan kebimbangan berhubung kos sara hidup.

Pamela berkata, pihak kolej mengadakan kursus intensif bahasa Inggeris selama 6 bulan bagi pelajar yang lemah dalam bahasa itu, selain mengatur program keluarga angkat untuk pelajar pribumi dari kawasan pedalaman.

Ryan Izzat Razali memperleh diploma pengrusan perniagaan pada usia 16 tahun.

“Kami bekerjasama dengan pihak gereja bagi mendapatkan tempat penginapan terbaik untuk pelajar kami. Dermasiswa memang disediakan, tetapi tidak ramai yang memohon,” katanya.

Beliau berkata, program itu akan diteruskan kerana terdapat ramai pelajar berbakat dari kawasan pedalaman tetapi miskin.

“Ramai daripada mereka pergi ke sekolah luar bandar dan memperoleh keputusan yang baik walaupun mereka miskin. Mereka pasti mendapat keputusan lebih baik sekiranya diberikan biasiswa dan mendapat pendidikan terbaik,” katanya.

Pada majlis konvokesyen yang sama, kolej berkenaan turut menganugerahkan diploma pengurusan perniagaan kepada pelajarnya yang paling muda, iaitu Ryan Izzat Razali, berusia 16 tahun.

Ryan yang memulakan pelajarannya di kolej berkenaan ketika berusia 14 tahun, mendapat pendidikan di rumah. Bapanya Razali Koroh, merupakan bekas guru.

Beliau lulus peperiksaan A Level dalam pengajian Ekonomi dan Perniagaan ketika berusia 12 tahun.

“Beliau pelajar terbaik kelasnya dan ditawarkan biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran di TAR UC di Kuala Lumpur,” kata Razali.

Ryan dijadualkan mengambil pengajian ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan.