Pencemaran bau: Penduduk Sepang bantah operasi kilang pelupusan plastik dari China

Penduduk di sekitar Sungai Pelek dan Sepang membantah operasi kilang melupuskan sisa plastik hari ini.

SEPANG: Kewujudan sebuah kilang pelupusan sisa plastik dipercayai berasal dari negara China didakwa merupakan punca pencemaran bau dihadapi penduduk di sekitar Sungai Pelek dan Sepang.

Bekas ahli Majlis Perbandaran Sepang Henry Tong, 36 berkata, kilang berkenaan yang mengeluarkan bau busuk pernah ditutup pada Mac lalu kerana beroperasi secara haram, namun kini beroperasi semula selepas mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita difahamkan kilang pelupusan plastik ini beroperasi menggunakan permit sementara untuk tempoh 6 bulan sebelum permit penuh diberikan. Kita mohon PBT tidak membuat keputusan tergesa-gesa,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Batu 2, Sepang, hari ini.

Pengerusi Gabungan Persatuan Cina dan Pertubuhan Rumah Berhala Sungai Pelek dan Sepang, Joshua Tee.

Beliau mendakwa, pembakaran sisa plastik di kilang berkenaan yang mengeluarkan bau busuk mengancam kesihatan penduduk setempat.

Menurutnya ramai penduduk mengadu mengalami masalah gatal-gatal, asma dan mudah diserang selsema.

Jelas Henry, waktu operasi harian kilang pelupusan itu turut dicurigai kerana bermula dari jam 12 tengah malam hingga awal pagi ketika penduduk setempat sedang tidur.

Beliau juga berkata, persekitaran di Sepang perlu dijaga dengan baik memandangkan jaraknya hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi lokasi pertama kemasukan pelancong ke dalam negara.

Terdahulu, Henry bersama-sama dengan beberapa penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat seramai kira-kira 50 orang berkumpul di pintu hadapan kilang berkenaan.

Mereka antara lain menyuarakan bantahan terhadap kewujudan semula kilang berkenaan dan tindakan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) meluluskan permit sementara kepadanya.

“MPS sudah tutup kilang ini sejak Mac. Tetapi khabar angin yang kita dapat, pihak pengurusan kilang dapat permit sementara untuk teruskan operasi. Kita mahu beri mesej jelas, penduduk di sini tidak mahu kilang ini beroperasi. Kami mahu ia ditutup,” katanya.

Sean Ng.

Sementara itu, pengerusi Gabungan Persatuan Cina dan Pertubuhan Rumah Berhala Kawasan Sungai Pelek dan Sepang, Joshua Tee, 40 mendakwa, sisa plastik yang dibakar di kilang berkenaan bukanlah sisa plastik tempatan, sebaliknya berasal dari luar negara.

“Kita dapat tahu, sisa plastik ini dibawa masuk ke kilang menggunakan lori kontena. Kita juga bimbang ia akan mencemarkan Sungai Sepang Besar yang berada di belakang kilang.

Joshua percaya pihak pengurusan kilang masih belum menmperoleh laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) memandangkan permit yang diberikan hanyalah permit sementara.

“Setahu kita, mereka beroperasi menggunakan permit sementara. Untuk dapatkan permit operasi, mereka harus dapat laporan EIA dahulu,” katanya.

Katanya, beliau turut difahamkan MPS akan bermesyuarat Selasa depan bagi memutuskan sama ada kilang itu dibenarkan beroperasi.

Kerosakan pada pokok buah naga dipercayai berpunca daripada pencemaran kilang pelupusan sisa plastik.

Menurut seorang pekebun yang mengusahakan ladang buah naga di situ, Sean Ng, beliau mengesyaki kesan operasi kilang berkenaan merupakan punca hasil tanamannya terjejas teruk.

“Pada awalnya saya ingatkan ia disebabkan sisa sampah dari tapak pengurusan sisa Alam Flora.

“Namun selepas mendapat penjelasan dari Alam Flora, mereka beritahu tidak membakar sampah pada waktu malam. Saya dapati tanaman mudah dijangkiti penyakit dan banyak buah yang calar. Sebelum ini tidak pernah jadi seperti ini,” katanya.

Sean mendakwa, sewaktu pergi ke ladangnya setiap pagi, beliau dapati terdapat kesan habuk halus di pokok buah naganya, yang dipercayai merupakan habuk daripada sisa pembakaran plastik kilang berkenaan.

Sean berkata, sebelum ini beliau boleh mendapat hasil kira-kira 2 tan sebulan, tetapi kini hanya mampu meraih hasil sebanyak 200kg.

“Pemborong pun sudah tidak berani ambil buah kita. Mereka bimbang buah ini tercemar memandangkan jarak ladang saya dengan kilang tidak sampai 200 meter,” katanya.