PKR tak akan teragak-agak dalam kes gangguan seksual melibatkan wakil rakyat
Majlis pimpinan pusat parti itu menyokong penuh siasatan polis terhadap dakwaan gangguan seksual melibatkan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dengan seorang ahli parti.
PETALING JAYA: PKR memandang serius dakwaan gangguan seksual melibatkan wakil rakyatnya dengan seorang ahli parti, dan tidak akan teragak-agak bertindak sekiranya polis mendapati berlaku pelanggaran undang-undang.
Majlis pimpinan pusat PKR mengambil maklum wakil rakyat berkenaan, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, dan seorang wanita yang pernah berkhidmat dengannya sudah membuat laporan polis, dan pihak berkuasa sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan itu.
“PKR menyokong penuh siasatan polis ini dan berharap proses tersebut akan dapat dilakukan dengan adil dan teliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Minggu lalu, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual Kesavan, termasuk perbuatan menghubunginya sehingga 50 kali sehari, menunjukkan buku Kamasutra melalui panggilan video serta menghantar gambar lucah.
Kesavan menafikan dakwaan wanita itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan berniat jahat. Beliau juga menuduh wanita berkenaan menaruh perasaan terhadapnya serta cuba mengganggu rumah tangga beliau.
Kes ini mendorong 12 kumpulan wanita menggesa PKR melancarkan siasatan dalaman terhadap Kesavan, menegaskan parti politik tidak boleh bertolak ansur dengan gangguan seksual.
“Rakyat berhak untuk mendapatkan wakil rakyat yang menghormati wanita,” kata Kumpulan Bertindak Bersama Bagi kesaksamaan Jantina (JAG) pada Jumaat.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Menjawab desakan itu, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin semalam berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti hari ini.