Sultan Perak izin pengerusi masjid benarkan aktiviti parti digantung tugas

Sultan Nazrin menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dilangsungkan dalam bangunan dan perkarangan masjid.

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengizinkan pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik, digantung tugas, sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Sultan Perak hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Abd Rahim Mohamad Nor berkata, cadangan penggantungan tugas itu dibuat Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Mohd Yusof Husin.

Sementara penggantungan tugas itu, Sultan Nazrin memerintahkan tanggungjawab pengerusi jawatankuasa masjid dan surau diserahkan kepada pegawai tadbir agama daerah, selaras dengan Peraturan 10(2) Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Perak.

“Baginda menitahkan pengarah JAIPk melakukan siasatan lengkap untuk dipersembahkan kepada baginda mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah tidak bertauliah,” katanya.

Beliau berkata ceramah berkenaan berlangsung di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, dan di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang pada 24 Mei serta program atas nama parti politik di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

Menurut Rahim, Sultan Nazrin memerintahkan demikian semasa Ketua Polis Perak, Razaruddin Hussain @ Abd Rasid, pengarah JAIPk dan Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Mohd Haidi Sulaiman menghadap petang semalam.

Selain itu, Sultan Nazrin turut memerintahkan pemimpin 6 parti politik utama di Perak menghadap iaitu Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu, Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang semalam.

Abd Rahim berkata Sultan Nazrin menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dilangsungkan dalam bangunan dan perkarangan masjid atau surau.

“Baginda disembah maklum, terdapat pemimpin daripada parti politik berceramah agama tanpa mendapat tauliah daripada MAIPk atas nama parti politik, dilangsungkan dalam masjid dan surau tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa agama Islam negeri.

“Setelah dipersembahkan taklimat, baginda berpuas hati terdapat asas kebenaran aduan yang diterima daripada ramai ahli kariah mengenai parti politik di Perak menganjurkan aktiviti dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau, juga pemimpin parti politik berceramah agama tanpa tauliah,” katanya.

Rahim berkata dalam sesi menghadap tersebut Sultan Nazrin menegaskan pendirian selaku ketua agama Islam negeri untuk tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau.

Sultan Nazrin juga merumuskan persaingan aktiviti yang semakin rancak oleh parti politik, sama ada pemerintah atau pembangkang, di masjid dan surau merupakan perkembangan sangat tidak sihat yang berpotensi menjejaskan kesucian rumah ibadat itu.

“Baginda bertitah parti-parti ini menggunakan pelbagai alasan, seperti khidmat masyarakat, program kebajikan, majlis ilmu, khatam al-Quran, bantuan, tetapi pada masa yang sama mempamerkan lambang parti politik masing-masing dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau,” katanya.

Sultan Nazrin juga memerintahkan parti politik tidak menjemput penceramah tanpa tauliah daripada MAIPk, dan jika program ceramah mahu dianjurkan dalam masjid atau surau ia perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa agama.

Sultan Perak bimbang kariah masjid akan memiliki identiti dan asosiasi dengan parti politik tertentu jika program atas nama parti politik dibenarkan di rumah ibadat tersebut, yang sewajarnya berperanan menyatukan ummah.

Selain itu, Sultan Nazrin memerintahkan pemimpin politik di Perak agar memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab memulihara kesucian rumah ibadah umat Islam daripada dicemari kegiatan politik berpuak dan kepartian.