Tak tahan didera, isteri tikam suami hingga mati

Gambar fail.

LAHAD DATU: Seorang wanita, yang tidak tahan dengan sikap suami yang sering mendera dan berlaku curang, menikam suaminya ketika tidur dalam kejadian di sebuah bilik sewa tingkat atas bangunan kedai di Bandar Cenderawasih, Sahabat 7 Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa, Rasalan Jaya, 32, seorang pengawal keselamatan, mengalami cedera parah di bahagian perut dan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu pada 5.05 pagi semalam.

Ketua Polis Lahad Datu, Nasri Mansor berkata, ketika kejadian, mangsa sedang baring di bilik sebelum isterinya berusia 26 tahun mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan menikam mangsa di sebelah kanan perut.

“Mangsa mencabut pisau yang tertusuk diperutnya dan meletakkannya di atas katil sebelum menuju ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek kemudian membuang pisau itu keluar melalui tingkap dan hanya bersembunyi di bilik sewa mereka sebelum ditahan polis 2 jam kemudian.

Polis turut merampas pisau sepanjang 25 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Hasil siasatan menunjukkan mangsa juga tidak pernah memberikan nafkah kepada suspek serta 6 anak mereka serta sering mendera dan memukul suspek, katanya.

“Di samping itu, mangsa juga berlaku curang sejak 2014 dan perbuatan itu diketahui suspek tetapi dirahsiakan kerana khuatir rumahtangga mereka musnah. Akibat tidak dapat mengawal emosi serta perasaan marah, suspek menikam mangsa,” katanya

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.