1 polis maut, 4 cedera selepas bom meletup di stesen keretapi Songkhla

Polis Thailand sedang menjejaki dalang yang meletupkan bom di stesen keretapi Chana dan mencederakan anggota yang bertugas.

SONGKHLA: Seorang anggota polis maut, manakala 4 lagi cedera, termasuk seorang wanita awam dalam satu kejadian letupan bom di Chana, Songkhla.

Kejadian kira-kira 6 petang (waktu tempatan) itu berlaku, ketika pasukan polis sedang membuat pemeriksaan keselamatan di bahagian belakang Stesen Keretapi Chana.

Ketua Polis Bahagian ke-9 Ronnasin Phusara berkata bom buatan sendiri itu dipercayai ditanam di bawah tanah, diletupkan dan mencederakan anggota polis yang sedang bertugas.

“Seorang anggota polis maut di tempat kejadian manakala 3 lagi cedera parah.

“Seorang wanita awam yang turut berada di tempat kejadian cedera akibat serpihan bom tersebut. semua mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Chana,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata semua laluan ke tempat kejadian kini tutup untuk siasatan lanjut.

“Polis sedang menjejaki kumpulan yang mendalangi letupan itu,” katanya.