Adakah utusan asing kebal akta tempatan, soal pengawal keselamatan dipecat Kedutaan AS

Kedutaan AS di Kuala Lumpur. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengawal keselamatan yang mendakwa Kedutaan Amerika Syarikat di sini memberhentikannya secara tidak sah, akan menulis surat kepada menteri sumber manusia bagi mendapatkan penjelasan sama ada utusan asing kebal daripada undang-undang tempatan.

Peguam lelaki itu, Ragunath Kesavan berkata ini bagi memastikan pekerja Malaysia itu mendapat keadilan apabila mereka memfailkan tuntutan terhadap majikan dari negara asing, sama ada di mahkamah atau tribunal.

“Saya akan menulis surat kepada menteri (M Kula Segaran) untuk mendapatkan jawapan sama ada utusan asing dilindungi daripada tindakan (undang-undang),” katanya kepada FMT.

Ragunath yang merupakan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia mengulas keputusan Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Gulam Muhiaddeen Abdul Aziz untuk menangguhkan prosiding kepada 17 Jun.

Ia susulan Kedutaan AS mendakwa notis dan perintah mahkamah itu tidak berkesan ke atasnya.

Firma guaman Ragunath mewakili L Subramaniam yang dipecat 11 tahun lalu. Kula Segaran hanya merujuk kes itu kepada mahkamah tahun lalu.

Subramaniam yang pernah berkhidmat 21 tahun untuk Kedutaan AS, menuntut pengembalian jawatannya.

Jumaat lalu, Kedutaan AS yang diwakili Amerdeep Singh, berkata di bawah Perkara 22 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, notis itu tidak boleh diserahkan terus kepada kedutaan, tetapi perlu melalui saluran diplomatik.

Beliau berkata, anak guamnya perlu diberikan 60 hari untuk memberi maklum balas.

Katanya, kedutaan itu turut mendakwa notis itu perlu dituju kepada kerajaan AS.

Gulam mengarahkan Subramaniam memberi respons terhadap bantahan itu pada 17 Jun.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan yang membantu Subramaniam memfailkan kes itu berkata, keengganan Kedutaan AS tunduk kepada bidang kuasa tempatan hanya menunjukkan keangkuhan mereka.

Katanya, ia turut menunjukkan sejauh mana kerajaan AS akan berjuang untuk kes pemecatan seorang pengawal, yang didakwanya dilakukan tanpa proses undang-undang sewajarnya.

“Mereka memberhentikan pekerja itu tanpa sebarang penjelasan, surat tunjuk sebab atau inkuiri domestik. Sekarang, mereka datang ke mahkamah dan kata pihak berkuasa tidak menyerahkan notis melalui saluran yang betul.”

Arutchelvan berkata, sebuah Mahkamah Tinggi di sini pada 2016 memutuskan kedutaan dan pesuruhjaya tinggi tidak terkecuali daripada undang-undang Malaysia.

“Ia memutuskan Suruhanjaya Tinggi Australia tidak dilindungi di bawah Konvensyen Vienna 1966 kerana undang-undang hanya tertakluk kepada ‘ejen diplomatik’ seperti pesuruhjaya tinggi.”

Katanya, mahkamah itu turut menolak hujah Suruhanjaya Tinggi Australia dilindungi di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992.