Agensi perisikan Saudi, Israel jalin hubungan baik, kata bekas pengarah Mossad

Bekas pengarah agensi perisikan Israel, Tamir Pardo. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Agensi perisikan Israel, Mossad mengaku menjalinkan hubungan komunikasi yang baik dengan agensi perisikan Arab Saudi, dedah bekas pengarah agensi itu dalam satu temu bual memetik laporan The Jerusalem Post.

Ketika membincangkan kekuatan kerjasama antara agen agensi perisikan pelbagai negara yang berbeza, Tamir Pardo bermula dengan menyisihkan banyak pihak yang biasanya dianggap bekerjasama dengan Mossad, dan setelah itu tanpa disangka-sangka mengemukakan nama Arab Saudi.

“Anda boleh menjadi musuh apabila anda berjalan keluar daripada dalam bilik, tetapi apabila anda duduk bersama, anda boleh berkongsi pengalaman anda, anda boleh bercakap banyak, dan anda boleh menangani banyak sekatan,” katanya.

Pardo berkata apabila agensi perisikan “mencari kualiti tertentu, sama ada anda berkhidmat di CIA, MI6, atau mana-mana negara lain, Perancis, Itali, Arab Saudi, anda memerlukan orang yang sama, sama kualiti.”

Pada November 2017, Menteri Tenaga Israel Yuval Steinitz mendedahkan negara itu menjalinkan hubungan rahsia dengan Arab Saudi dalam berdepan musuh bersama iaitu Iran.

“Kami sememangnya menjalinkan hubungan rahsia dengan beberapa negara Islam dan Arab, dan biasanya kamilah pihak yang tidak perlu malu.

“Pihak sebelah sana yang mahu hubungan itu dirahsiakan. Bagi kami, tak ada masalah, tetapi kami menghormati permintaan mereka apabila hubungan berkembang sama ada dengan Arab Saudi atau negara Arab atau Islam, dan terdapat banyak lagi… (tetapi) kami merahsiakannya.”

Sebelum itu, ketua tentera Israel Gadi Eizenkot memberitahu sebuah akhbar Arab yang ia bersedia berkongsi maklumat perisikan dengan Arab Saudi, sambil berkata kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama dalam menyekat Iran.