Ahli akademik persoal langkah Jais tidak jemput orang Islam bukan-Sunni buka puasa

Ahli akademik Syed Farid Alatas berkata, jika orang Islam boleh mengadakan dialog dengan bukan-Islam, mereka juga harus mengadakan dialog dengan orang Islam yang berbeza pandangan.

PETALING JAYA: Sewaktu banyak acara buka puasa antara agama sepanjang Ramadan ini berusaha merapatkan hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam, namun usaha yang sama tidak dibuat bagi menghimpunkan pelbagai kumpulan dalam kalangan masyarakat Islam sendiri, kata Syed Farid Alatas.

Ahli akademik Malaysia yang berpangkalan di Singapura itu berkata, lebih banyak perbincangan dan dialog intra-agama perlu diadakan di negara ini, yang menurut beliau, kurang menghargai kepelbagaian yang wujud dalam Islam.

Beliau berkata, pemimpin Islam di Malaysia masih menderitai sentimen berpuak-puak yang hanya akan memecah-belahkan masyarakat.

“Islam di Malaysia ditafsirkan secara sempit dan eksklusif sehingga wujudnya sikap tidak bertolak ansur terhadap kumpulan yang tidak mengikuti mazhab Sunni,” kata profesor sosiologi di National University Singapura itu kepada FMT.

Ketika ditanya berhubung perkara itu baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, ia hanya akan mengadakan dialog dengan orang Islam bermazhab Sunni.

Pihak berkuasa agama di negara ini lazimnya menganggap penganut Islam bukan Sunni sebagai sesat atau berada di luar Islam.

Sebelum ini pengikut Syiah dan Ahmadiah pernah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana menghadiri acara keagamaan persendirian.

Fatwa negeri menganggap Syiah sebagai sesat, sementara anggota kelompok Ahmadiah tidak dianggap sebagai orang Islam.

Farid berkata, sikap menyisihkan kumpulan minoriti memperlihatkan kejahilan tentang kepelbagaian yang wujud dalam Islam.

“Majlis berbuka puasa bukanlah satu acara untuk membincangkan perbezaan pegangan, sebaliknya hanyalah acara duduk bersama untuk berbuka.

“Jika kita boleh berbuat demikian dengan orang Kristian, Buddha, Hindu dan Yahudi, kenapa ia tidak boleh dilakukan dengan orang Islam bukan Sunni?”, soal Farid.

Katanya, ulama besar Sunni di seluruh dunia sepakat menerima penganut Syiah sebagai orang Islam.

Beliau berkata, dalam kalangan pengikut Ahmadiah sekalipun ramai yang menerima prinsip dasar Islam dan sepatutnya diterima sebagai orang Islam.

“Orang Islam perlu difahamkan tentang sejarah mazhab yang berbeza-beza dalam Islam serta kepelbagaian kepercayaan yang wujud yang merupakan ciri Islam itu sendiri.”