Anak Samy Vellu letak jawatan setiausaha agung MIC

S Vell Paari meletak jawatan untuk memfokuskan perniagaannya.

PETALING JAYA: Anak Samy Vellu, S Vell Paari meletak jawatan sebagai setiausaha agung MIC untuk menumpukan perhatian terhadap perniagaannya.

Vell Paari berkata, beliau sudah merancang berundur untuk seketika, tetapi tidak berbuat demikian bagi memastikan MIC berjalan lancar dan sehingga perhimpunan agung parti itu selesai.

“Saya menjelajah kebanyakan masa dan menyertai satu usaha sama serantau dengan sebuah syarikat multinasional dengan satu daripada syarat ialah tidak memegang jawatan pembuat keputusan dalam parti politik,” katanya kepada FMT hari ini.

Anak bekas presiden MIC yang berusia 54 tahun itu dilantik sebagai setiausaha agung MIC pada 14 November 2018.

Vell Paari pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Maika Holdings sebelum syarikat MIC itu ditutup pada 2009.

Presiden MIC, SA Vigneswaran hari ini menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi MIC Johor, M Asojan sebagai setiausaha agung yang baru, manakala Ahli Jawatankuasa Kerja Pusatnya, AK Ramalingam dilantik sebagai setiausaha eksekutif MIC.