Badak sumbu Sumatra jantan terakhir mati kerana usia tua, kegagalan organ

Badak sumbu yang disayangi ramai dan dipercayai berusia 30-an tahun itu mati di Rizab Hidupan Liar Tabin tengah hari tadi.

KOTA KINABALU: Tam, badak sumbu Sumatra jantan terakhir di negara ini akhirnya tewas dalam perjuagan melawan usia dan kegagalan organ.

Badak sumbu yang disayangi ramai dan dipercayai berusia 30-an tahun itu mati di Rizab Hidupan Liar Tabin tengah hari tadi.

Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) menjaga Tam sejak beberapa lama sebelum ini, tetapi ia tidak menunjukkan respons baik terhadap rawatan yang diberikan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata, kematian Tam disebabkan usia lanjut dan kegagalan beberapa organ.

Katanya, punca tepat kematian badak sumbu itu akan lebih jelas selepas autopsi dijalankan.

“Pada masa ia ditangkap di sebuah ladang kelapa sawit di Kretam, Tawau pada Ogos 2008, Tam dianggarkan berusia 20-an. Jadi umurnya sekarang dianggap telah tua bagi badak sumbu Sumatra,” katanya dalam satu kenyataan.

Liew yang juga merupakan menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri berkata, beliau dimaklumkan tentang berita sedih itu oleh pengarah SWD Augustine Tuuga.

“Semua yang dapat kita lakukan telah dilakukan, dan dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan kasih sayang.

“Minggu-minggu terakhirnya melibatkan penjagaan rapi terbaik yang dapat diberikan oleh pasukan Borneo Rhino Alliance (Bora) diketuai pakar haiwan Dr Zainal Zahari Zainuddin di Tempat Perlindungan Badak Sumbu Borneo di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu,” katanya.

Bagaimanapun kata Liew, satu perkembangan baik ialah genom Tam yang masih hidup disimpan dalam kultur sel.

“Kita berharap dengan teknologi baru di peringkat sel dan molekul, ia mungkin masih boleh menyumbangkan gennya untuk kelangsungan spesis itu,” katanya.

Pada masa ini, hanya seekor badak sumbu betina, iaitu Iman, yang masih hidup di Sabah. Seekor lagi badak betina, Puntung, dimatikan pada 2017 kerana barah yang menyakitkan dan tidak dapat diubati.